
MIRI — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) berjaya menahan sebuah kapal tunda, selepas mengesan aktiviti penyalahgunaan dadah dalam operasi penguatkuasaan di perairan Miri pada petang Sabtu.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad memaklumkan, bahawa vesel tersebut ditahan kira-kira pukul 4.40 petang pada kedudukan 3.5 batu nautika barat Muara Sungai Miri.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan ke atas vesel berkenaan menemukan satu bungkusan kecil, disyaki dadah jenis methamphetamine serta peralatan menghisap dadah.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua lima kru kapal tersebut positif dadah, sekali gus melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelas beliau.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut turut mendapati kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, yang merupakan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63. Kesemua kru terdiri daripada dua warga tempatan, dua warga Indonesia dan seorang warga Myanmar, berusia antara 21 hingga 56 tahun.
Susulan itu, kapal bersama-sama kru ditahan dan diiring ke pangkalan Maritim sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, beliau menegaskan pihak Maritim tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, khususnya melibatkan penyalahgunaan dadah dan kesalahan imigresen di perairan negara.
“Operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat secara berterusan dan menyeluruh bagi memastikan perairan negara kekal selamat, terkawal serta bebas daripada sebarang elemen jenayah,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Miri bagi tindakan segera.





