
PUTRAJAYA – Pas dilihat sedang ‘rancak’ bermain politik kotor dan murahan untuk mendapatkan kepercayaan rakyat agar mengundi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub menyifatkan parti itu sedang berkempen dalam keadaan tertekan apabila memilih taktik serangan fitnah terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, taktik digunakan Pas ketika ini hanya mahu menutup kesilapan dan kegagalan sendiri mentadbir negeri Kelantan setelah berdekad memerintah.
“Pas berkempen di Nenggiri dalam keadaan tertekan. Taktik serangan dan fitnah kepada UMNO dan BN sama ada menerusi ceramah atau media mereka. Risalah fitnah juga sudah disebarkan mereka kepada pengundi Nenggiri melalui masjid.
“Kesedar jadi sasaran serangan Pas kerana Pengerusinya adalah Setiausaha UMNO Kelantan. Felcra dikatakan telah menjual kilang sebab Pengerusinya juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan manakala calon BN di Nenggiri adalah Ahli Lembaga Pengarah Felcra.
“Mereka menggunakan taktik ‘berak atas pusu’. Pas akan mengaku tahi itu tahi mereka sekiranya memberi keuntungan kepada mereka,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press, hari ini.
Sehubungan itu, Mustapha menegaskan Pas juga dalam keadaan terdesak apabila sanggup mempunyai perancangan untuk ‘menculik’ pengundi Orang Asli yang menjadi penyokong kuat UMNO.
“Pas juga akan menyogok dan membeli undi penyokong BN dalam usaha untuk menang dengan majoriti yang lebih besar seperti keputusan PRK DUN Sungai Bakap.
“Sebab itu Sanusi (Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) sedari awal meramalkan Pas akan menang dengan majoriti 2,000 undi,” katanya.
Terdahulu, seorang lelaki dipercayai dari perkampungan Orang Asli, dekat Gua Musang, mendakwa dikunjungi rombongan Pemuda Pas yang membawa minuman keras untuk diagihkan kepada penduduk di situ.
Rakaman video berkaitan dakwaan lelaki berkenaan mula tular di beberapa platform media sosial sejak lewat petang tadi.
Lelaki terbabit berkata, rombongan Pemuda Pas memberi minuman keras secara percuma kepada penduduk di situ.





