HARRY Kane menjaringkan satu gol pada setiap babak ketika Bayern Munich menghukum seteru lama, Hamburg dengan kemenangan 5-0 di laman sendiri awal pagi tadi.
Kane kini mengumpul 93 gol dalam 101 penampilan bersama Bayern, manakala Serge Gnabry, Luis Diaz dan Aleksandar Pavlovic turut meledak gol.
Sebagai dua pasukan Bundesliga yang pernah menjuarai Piala Eropah, Bayern dan Hamburg menempuh laluan berbeza sejak menguasai bola sepak Jerman pada era 1980-an.
Bayern memenangi 12 daripada 13 gelaran terakhir liga, manakala Hamburg baru sahaja dinaikkan musim lalu selepas tujuh musim beraksi di divisyen kedua.
Penjaring gol Gnabry memuji tahap kesefahaman di Bayern, dengan berkata: “Semuanya berjalan lancar dalam pasukan.
“Kami bermain dengan baik bersama-sama, kami menggerakkan bola dengan kemas.”
Gnabry merembat gol pertama ke bumbung gawang seawal minit ketiga.
Produk akademi Bayern, Pavlovic menyempurnakan gerakan pasukan enam minit kemudian.
Kane menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan kerana bola terkena tangan pada minit ke-26.
Diaz menambah gol keempat tiga minit selepas itu, jaringan keempatnya sejak menyertai Bayern pada musim panas lalu.
Nicolas Jackson dimasukkan pada separuh masa, membuat penampilan sulung selepas berpindah ke Bayern secara pinjaman daripada Chelsea pada musim panas.
Bayern akan membuka kempen Liga Juara-Juara menentang Chelsea di laman sendiri Rabu ini.





