
PUTRAJAYA – Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak perlu dibawa ke meja rundingan untuk diiktiraf kerana kedudukannya sudah jelas melanggar Perkara 152 Perlembagaan Malaysia, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Akta Pendidikan 550 (1996).
Pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad berkata, disebabkan pelanggaran itu, tidak pernah ada tuntutan pengiktirafan UEC dikemukakan untuk semakan kehakiman di mahkamah walaupun desakan telah dilaksanakan sejak tahun 1975.
“Mengapa mereka tak bawa sahaja ke mahkamah? Mengapa mereka hanya nak jumpa dan bincang dengan YAB Perdana Menteri? Kalau tuntutan ini benar dan mereka yakin UEC memenuhi peruntukan perlembagaan negara dan Akta Pendidikan, sudah lama kes UEC ini mereka bawa ke mahkamah.
“Ramai sahaja peguam yang boleh menasihati kumpulan pendesak UEC ini untuk bawa ke mahkamah tetapi mereka tak bawa dan saya yakin mereka tak akan bawa sebab mereka tahu bila bawa tuntutan pengiktirafan UEC ke mahkamah dan ditakdirkan kalah, UEC akan berkubur di negara ini.
“Ibu bapa akan mula sangsi dengan tahap persijilan UEC. Ibu bapa akan berpindah ke SMJK atau ke sekolah antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.
Atas faktor sedemikian, Anuar memaklumkan, penyokong UEC memilih saluran politik kerana bimbang semakan kehakiman yang tidak memihak akan menghakis keyakinan masyarakat awam terhadap sijil tersebut.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) itu berkata, pola desakan pengiktirafan UEC juga dilihat menunggu masa sesuai iaitu muncul setiap kali menjelang pilihan raya umum yang telah pun bermula sejak 1959.
“Strateginya desak-runding-senyap, desak-runding-senyap. Mana tahu, ada ketika bila parti kerajaan dalam situasi sokongan rakyat yang lemah, desakan mereka menjadi.
“Sebab itu, mereka tunggu masa yang sesuai. Biasanya setiap kali menjelang PRU. Bermula tahun 1959 lagi desakan seperti ini telah bermula. Begitu juga ketika tuntutan Suqiu 1999. Pada PRU 2018 juga berlaku, ketika sokongan rakyat kepada parti UMNO berada di titik paling lemah.
“Sekarang mereka desak lagi. Peliknya, terdapat juga pemimpin politik yang kata ‘boleh bincang’, ‘boleh runding’ untuk iktiraf UEC. Bincang macam mana kalau UEC jelas tak ikut keluhuran perlembagaan,” katanya.

Dalam pada itu, Anuar berpendapat, secara jelas bahasa pengantar utama UEC bukan bahasa Melayu, bukan kukirulum kebangsaan selain peperiksaannya bukan peperiksaan kebangsaan dan guru-guru UEC bukan guru latihan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
Secara sinis, Anuar meminta pihak-pihak yang memperjuangkan UEC supaya melihat beberapa negara jiran yang lain sekiranya mengiktiraf UEC setara dengan kurikulum kebangsaan mereka.
“Adakah wujud sekolah persendirian di Singapura melaksanakan kurikulum UEC setaraf dengan kurikulum kebangsaan Singapura? Adakah Indonesia iktiraf UEC setara kurikulum kebangsaan mereka?
“Adakah negara Thailand, Brunei, Filipina, Vietnam malah negara China sendiri iktiraf UEC setaraf dengan kurikulum kebangsaan negara mereka? Tak ada pun.
“Kerajaan mereka tidak pernah iktiraf kurikulum UEC setara atau setaraf kurikulum kebangsaan negara mereka. Mereka hanya benarkan universiti mereka terima pelajar yang ada sijil UEC dari Malaysia sebab itu menjana pendapatan dari yuran pelajar antarabangsa untuk negara mereka,” katanya.
Pada Jumaat, Perdana Menteri membidas tindakan DAP yang mahu kerajaan mengiktiraf UEC kerana tuntutan itu hanya menjurus kepada satu kaum dan satu bahasa sahaja.
Berikutan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak akan bersetuju dan melayan tuntutan yang melanggar prinsip kerajaan dalam mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, usaha yang sepatutnya dilakukan adalah memartabatkan penggunaan bahasa Melayu bagi menjadikannya bahasa ilmu yang dikuasai semua pihak di negara ini.




