
KOTA KINABALU – Penjawat awam Sabah bakal menerima Bantuan Khas Kewangan bersamaan sebulan gaji atau minimum RM2,000 di bawah Belanjawan Sabah 2026, melibatkan 18,853 pegawai dengan implikasi kewangan RM52.6 juta.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, bantuan itu merangkumi semua anggota perkhidmatan termasuk berstatus Kontrak, Vot Terbuka dan Pekerja Sambilan Harian.
“Penjawat awam Sabah adalah nadi utama jentera pentadbiran kerajaan.
“Oleh itu, selain pelarasan gaji, kerajaan membawa khabar gembira dengan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Jumaat.
Menurutnya, pembayaran dilakukan dalam dua fasa iaitu pada bulan Februari sebelum Hari Raya Aidilfitri dan sebelum sambutan Kaamatan 2026.
“Bantuan itu juga turut dipanjangkan kepada pesara Kerajaan Sabah dengan bayaran RM1,000 pada tahun depan,” tambahnya.
Masidi sebelum itu menyatakan bahawa perkhidmatan awam merupakan teras pentadbiran negeri yang perlu kekal cekap dan berkesan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Tambahnya, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM7.6 juta bagi menggalakkan pembelajaran berterusan dalam kalangan penjawat awam untuk melahirkan barisan pegawai berpengetahuan, berkemahiran dan berkeupayaan analitikal serta kepimpinan masa hadapan.
“Selain itu, RM16.85 juta diagihkan kepada agensi kerajaan di bawah pembangunan sumber manusia bagi memastikan penjawat awam terlatih, cekap dan dilengkapi kemahiran yang diperlukan menghadapi cabaran semasa,” katanya.




