
PERAHU sudah di air, dayung sudah di tangan. Parlimen sedang bersidang. Inilah medan sebenar untuk menentukan keabsahan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI.
Namun anehnya, pembangkang lebih selesa menyalak di luar Dewan Rakyat, mengajak rakyat turun ke jalanan, mencipta persepsi kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah hilang sokongan rakyat dan wajar berundur.
Penganalisis politik, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, pembangkang yang diketuai Perikatan Nasional (PN) tidak berani membuat usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri kerana beberapa faktor yang tidak memihak kepada mereka ketika ini.
“Saya optimis pembangkang tidak akan mengambil peluang ini. Inilah medan tertinggi dalam sistem demokrasi berparlimen untuk menentukan keyakinan terhadap seorang Perdana Menteri. Jika benar dakwaan pembangkang bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah hilang sokongan rakyat dan gagal mengurus negara, maka mengemukakan usul undi tidak percaya adalah jalan paling sah dan berperlembagaan.
“Jika benar PMX lemah, jalan paling logik, sah dan bermaruah adalah melalui usul undi tidak percaya. Namun, sehingga kini tidak ada bayangan, apatah lagi langkah nyata ke arah itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menjelaskan mengenainya, Azhar berkata, pembangkang mengetahui hakikat sebenar yang cuba mereka sorok daripada rakyat. Perdana Menteri bukan sahaja masih kukuh, malah kekuatan beliau sukar digugat dengan jalan demokrasi kerana ketika ini Kerajaan Perpaduan miliki sokongan lebih dua pertiga.
“Hakikat paling pahit untuk pembangkang telan ialah PMX mengetuai kerajaan yang memiliki sokongan hampir dua pertiga Ahli Parlimen, satu kedudukan yang sangat stabil dan jarang dicapai dalam tempoh dua dekad lalu. Ia bukan sekadar angka, tetapi manifestasi keyakinan pelbagai parti kepada kepimpinan semasa.
“PMX mendapat sokongan luar biasa merangkumi parti-parti utama PH, BN, GPS, GRS dan Warisan. Kedudukan ini tidak mudah digugat oleh mana-mana pihak.
“Jika usul undi tidak percaya dibentang, pembangkang sedar mereka bukan sahaja akan kalah, malah akan mengesahkan kepada seluruh negara bahawa mereka tidak lagi relevan dari segi kekuatan politik. Ia satu risiko yang tidak sanggup mereka ambil.
“Ini menjelaskan mengapa pembangkang memilih jalan luar Parlimen, seperti demonstrasi dan perang persepsi di media social berbanding menggunakan saluran rasmi yang disediakan oleh Perlembagaan,” katanya.

Azhar yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas berkata, pembangkang sendiri tidak tahu angka sebenar menunjukkan kekuatan yang mereka sekali gus enggan menyahut cabaran Anwar yang secara terbuka telah bersedia menghadapi usul undi tidak percaya di Parlimen.
“Selepas episod memalukan pasca-PRU15 apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa PN sudah cukup sokongan untuk bentuk kerajaan, yang akhirnya terbukti palsu. Realitinya, angka yang diuar-uarkan gagal dibuktikan hingga memaksa campur tangan Yang di-Pertuan Agong.
“Pembangkang hari ini lebih berhati-hati dalam membuat dakwaan angka. Mereka tidak mahu sekali lagi terperangkap dalam permainan persepsi ciptaan sendiri. Mereka sendiri tidak tahu berapa ramai Ahli Parlimen yang benar-benar akan menyokong mereka jika usul dikemukakan.
“Dengan RUU Anti Lompat Parti yang telah berkuat kuasa dan kebanyakan parti memperketatkan perlembagaan masing-masing, ruang manipulasi makin tertutup. Tidak hairanlah mereka lebih rela mengadakan himpunan di jalanan daripada mencabar PMX di Dewan Rakyat,” katanya.
Satu lagi faktor kenapa PN tidak berani membawa usul tersebut di Parlimen, Azhar menjelaskan, pembangkang tahu jika kalah, ia akan menjadi tamparan moral yang sangat besar bukan sahaja kepada pemimpin pembangkang, tetapi juga kepada penyokong mereka yang masih percaya kononnya kerajaan hari ini lemah.
“Sebaliknya, jika usul ditolak dengan majoriti besar, ia akan mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap Kerajaan MADANI. Ia akan menjadikan pembangkang kelihatan terdesak, tiada hala tuju, dan sekadar bermain politik murahan. Naratif ‘kerajaan goyah’ akan hancur dengan sendirinya. Jadi apa yang tinggal? Mainkan persepsi sentimen dan jalanan,” katanya.
Justeru, Azhar menyeru orang ramai agar berfikir banyak kali untuk turun ke Himpunan Turun Anwar ciptaan pembangkang pada 26 Julai ini kerana jelas ia merupakan retorik politik pembangkang semata-mata.
“Rakyat kena buka minda, celik mata dan peka telinga, himpunan ini tidak menguntungkan kita semua dan negara, ini semua permainan pembangkang selepas gagal nak ‘tebuk atap’ mereka hasut rakyat ke jalanan pula demi momentum politik sahaja, mereka takut penyokong mereka hilang keyakinan sekali gus kalah pada PRU16 akan datang.
“Sekiranya usul tidak percaya dibentang dan gagal, ia akan menjadi pukulan moral besar kepada pembangkang. Kegagalan itu bukan sahaja akan mengukuhkan lagi legitimasi PMX, malah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kestabilan Kerajaan MADANI.
“Lebih-lebih lagi, rakyat kini semakin menerima dasar-dasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), BUDI MADANI, bantuan kepada miskin tegar, serta pemulihan pelaburan asing yang meningkat. Semua ini adalah realiti semasa yang menafikan naratif pembangkang kononnya kerajaan gagal,” katanya.
Azhar menegaskan, keengganan PN membuat usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Parlimen membuktikan mereka sedar bahawa Kerajaan MADANI masih kukuh dan Anwar masih memegang sokongan majoriti yang sah.
“Pembangkang tahu mereka tidak mampu tumbangkan PMX secara sah. Mereka tahu Kerajaan MADANI tidak mudah digugat. Lalu mereka cipta persepsi konon suara jalanan mewakili majoriti rakyat. Sedangkan realitinya, suara majoriti rakyat hari ini lebih rasional, lebih matang dan menilai berdasarkan hasil bukan sentimen.
“Maka persoalan itu kekal valid dan perlu dijawab oleh pembangkang, kalau benar PMX lemah, kenapa takut bawa usul undi tidak percaya di Parlimen?” soal Azhar.





