
KOTA KINABALU – Jururawat bukan sekadar ‘penjaga pesakit’ sebaliknya mereka adalah pemangkin kesejahteraan, pendidik kesihatan dan barisan hadapan krisis kesihatan.
Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sambutan Hari Jururawat bukan sekadar acara namun ia satu penghargaan terhadap mereka yang menjadi tunjang utama dalam sistem kesihatan negara.
“Sambutan Hari Jururawat bukan sekadar acara simbolik, tetapi satu penghargaan besar terhadap golongan yang menjadi tunjang utama dalam sistem kesihatan negara iaitu para jururawat kita.
“Sesuai dengan tema tahun ini ‘Our Nurses Our Future: Caring for Nurses Strengthens Economies’,” katanya sempena Program Derma Darah Sempena Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Sabah 2025 di Hospital Queen Elizabeth II, di sini pada Selasa.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Beliau berkata, semasa pandemik COVID-19, jururawat memainkan peranan luar biasa dalam rawatan, pemantauan, serta sokongan emosi dan moral kepada pesakit dan keluarga.
“Mereka adalah wira tanpa nama yang sentiasa tabah dan cekal, bekerja dalam pelbagai keadaan yang mencabar baik di wad-wad, unit kecemasan, klinik kesihatan luar bandar, mahupun di lokasi bencana.
“Kualiti sesebuah sistem kesihatan banyak bergantung kepada kualiti tenaga jururawatnya.
“Justeru, pelaburan dalam latihan, kebajikan dan pembangunan kerjaya jururawat amat penting demi menjamin kelestarian penjagaan kesihatan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap lebih ramai individu tampil menderma darah kerana bekalan darah amat diperlukan oleh pihak hospital bagi membantu pesakit yang memerlukannya.
“Keperluan sebenar darah sehari untuk negeri Sabah adalah 300 unit sehari dan dalam setahun kita memerlukan 110,000–120,000 unit untuk memenuhi keperluan sebenar pesakit.
“Walau bagaimanapun, setakat ini jumlah yang dapat dikumpul adalah sebanyak 75,000 unit setahun.
“Oleh yang demikian, penganjuran Program Derma Darah pada hari ini adalah satu aktiviti yang amat baik dan mulia, seterusnya ia dapat membantu menambahkan keperluan tahunan tersebut,” ujarnya.
Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Mariah Suleiman; Ketua Penyelia Jururawat Negeri, Matron Damica Kunsiong; Pengarah Hospital Queen Elizabeth II, Dr. Ferro Firdaus Ibrahim dan Ketua Penyelia Jururawat Hospital Queen Elizabeth II, Matron Hikmah Savitri Suharto.






