
SPEKULASI Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bakal berpindah parti politik yang melibatkan dua komponen parti dalam Kerajaan Perpaduan harus ditangani dengan cermat.
Pemerhati politik tanahair Mohd Sayuti Omar berkata, meskipun Tengku Zafrul belum menyatakan hasratnya secara rasmi untuk menyertai PKR, namun perkara itu telah diakui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim wujudnya perbincangan mengenainya sebelum ini.
“Perlu semua pihak khususnya UMNO dan PKR melihat isu ini dengan mata hati yang jernih bukan dengan mata politik yang berbaur, bervariasi. Ia kena ditangani dengan cermat, berhemat dan waspada bersifat jauhari mengenal manikam.
“Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah pun membuka mulut mengesahkan hal ini, ada perundingan peringkat awal, katanya.
“Ertinya isu perpindahan Tengku Zafrul dari UMNO ke PKR ini wujud dan ada asasnya. Bagaimanapun sebelum itu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengatakan beliau tidak tahu, dan Tengku Zafrul tidak memberitahunya. Mungkin Ahmad Zahid simpan untuk tidak mendahului Anwar,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, Mohd Sayuti yang juga penulis blog politik menyifatkan perubahan politik seseorang itu adalah normal dan subjektif, namun dalam isu Tengku Zafrul ini tentunya akan menjejaskan hubungan politik antaran UMNO dan PKR.
Sayuti turut berpandangan, ‘movement’ yang bakal dilakukan oleh Tengku Zafrul yang merupakan Ahli Majlis Kerja Tinggi UMNO seperti untuk memenuhi kehendak pihak ketiga sehingga menyebabkan PKR dan UMNO tersepit.
“Jika ia tidak dilakukan secara telus, dibimbangi ia boleh dianggap perbuatan menikam kawan oleh UMNO. Misalnya, kalau peralihan Tengku Zafrul itu kerana desakan dan arahan, atau kemahuan pihak lain, sepatutnya pihak yang ingin melaksanakan hasrat itu memanggil kedua-dua pihak menjelaskan mauduk dan duduk perkaranya. Presiden kedua-dua buah parti itu perlu dipanggil atau dirundingkan.
“Sebab seperti ada sesuatu yang misteri di sebalik perkara ini. Seperti peralihan itu bukan atas kehendak peribadi Tengku Zafrul, tetapi seperti ada kuasa dan desakan dari pihak lain, manakala Anwar pula tidak dapat berbuat apa apa melainkan kena uruskan kehendak itu,” katanya.
Mohd Sayuti memberi amaran, sebarang tindakan yang diambil tanpa rundingan yang telus akan memberi impak negatif kepada kedua-dua parti sekali gus menjadi umpan politik untuk pembangkang mengecam Kerajaan Perpaduan.
“Kerana rundingan itu tidak teluslah menyebabkan timbul pertanyaan dan kemarahan dari kalangan ahli UMNO ketika ini.
“Sudah ada ahli UMNO mencadangkan agar kerjasama politik antara UMNO dengan PH dikaji semula. Idea ini berbahaya dan akan menjadi umpan lazat kepada pembangkang untuk mengail rakyat.
“Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengeluarkan nada tidak senang dengan kejadian mencuri ahli partinya yang dikebimbangi boleh berlaku perbalahan,” katanya.
Pada masa sama Mohd Sayuti turut mempersoalkan apakah Tengku Zafrul ini memiliki keistimewaan hingga menyebabkan PKR menagih kehadirannya dalam parti itu.
“Pertamanya, apa yang perlu difahami kenapa Tengku Zafrul perlu pindah parti. Apakah PKR sahaja menjamin kedudukannya, dan tidak UMNO?
“Jika dilihat atau ditafsirkan yang mahukan Tengku Zafrul atas sebab-sebab keistimewaannya, tidakkah boleh dibincang dengan baik dengan UMNO memandangkan Tengku Zafrul masih menjadi ahli parti itu, dan pernah bertanding atas tiket BN.
“Begitu juga dengan Anwar, kita tidak fikir beliau begitu memerlukan Tengku Zafrul begitu sekali seolah-olah tiada tokoh lain untuk menggantinya sebagai Menteri Pelaburan Antarabangsa dan Industri (MITI). Siapakah Tengku Zafrul kepada perjuangan reformasi selama ini.
“Jika Zafrul dianggap cemerlang dalam bidang kewangan dan ekonomi masih ramai orang lain yang setanding dengannya dalam PKR.
“Saya yakin jika dibuat secara tertib, Anwar sedia melaksanakannya tanpa menimbulkan masalah kepada hubungan baik PKR dan UMNO,” katanya.






