
KUANTAN – Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mengesahkan telah menarik sijil halal bagi dua syarikat yang mengusahakan makanan di daerah ini berkuat kuasa serta-merta.
Syarikat yang dinamakan adalah GoodFood Industries Sdn Bhd dan NKM (Kuantan) Sdn Bhd.
JAIP dalam satu kenyataannya hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat menerusi Sidang Panel Pengesahan Halal Malaysia bagi Negeri Pahang Bilangan 4, Sesi 1 Tahun 2026.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mendapat maklumat status halal sesuatu produk atau premis diperoleh daripada sumber yang sahih,” kata kenyataan itu.
Orang ramai juga dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat tidak tepat serta merujuk kepada pihak berkuasa untuk pengesahan lanjut.
JAIP memaklumkan sebarang perkembangan terkini berhubung perkara itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.





