
SANDAKAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan segera termasuk tambahan dengan keseluruhan sebanyak RM1,500 daripada Kerajaan Persekutuan kepada 300 keluarga terlibat kebakaran di Kampung (Kg) Bahagia, di sini.
Anwar berkata, kerajaan negeri telah mengumumkan bantuan RM1,000 manakala Yayasan Kebajikan Sabah turut menyalurkan RM1,000 kepada setiap keluarga terlibat.
“Sumbangan yang membabitkan jumlah keseluruhan RM450,000 akan disalurkan segera kepada keluarga dikenal pasti.
“Kita tahu ini bukan penyelesaian dan hanya langkah sementara dan saya mahu disampaikan segera.
“Saya tidak mahu tertangguh sebab keluarga itu harus mendapat jaminan,” katanya selepas meninjau serta menyantuni mangsa di lokasi kebakaran di Kampung (Kg) Bahagia dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Batu Sapi, di sini, pada Rabu.

Beliau turut mengumumkan bantuan RM300 kepada setiap pelajar terkesan bagi tujuan pembelian keperluan sekolah seperti uniform dan buku, dengan bantuan disalurkan segera.
Dalam isu dokumen, Anwar berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan digerakkan ke kawasan terjejas bagi membantu penggantian dokumen penting seperti kad pengenalan (MyKad), MyKid, sijil kelahiran, sijil kematian dan sijil perkahwinan tanpa sebarang bayaran.
“Semua rekod ada, jadi kita akan bantu pulihkan dokumen tanpa sebarang kos,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, perancangan jangka sederhana dan panjang bagi pembangunan semula kawasan terjejas akan dibincangkan bersama kerajaan negeri termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta kementerian berkaitan seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan lain-lain.
“Saya tidak fikir wajar kita ambil satu pendekatan segera melihat kepada keperluan negeri, keutamaan negeri dan strategi pembangunan yang ditetapkan oleh negeri.
“Jadi saya minta ada sedikit kesabaran. Tapi dia tidak melengahkan projek-projek sementara seperti mana kita saksikan hari ini,” katanya.
Anwar turut memaklumkan kebimbangan sebahagian mangsa yang tidak mendaftar kerana takut tidak dibantu, namun memberi jaminan bahawa keselamatan dan kebajikan mereka akan terus dijaga.
“Ini bukan masa untuk kita kuatkuasakan undang-undang secara ketat.
“Dalam jangka panjang kita akan nasihatkan mereka untuk ikut proses pendaftaran seperti biasa,” ujarnya.
Dari aspek pendidikan, beliau berkata, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bersetuju memberi keutamaan kepada pelajar terjejas, termasuk 454 murid melibatkan 12 sekolah sekitar kawasan berkenaan.
Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) akan menyegerakan bantuan pakaian seragam sekolah, namun kelonggaran diberikan sementara waktu kepada pelajar untuk hadir ke sekolah tanpa memakai uniform.
“Jadi saya nak bagi tahu dua perkara, pertama, Jabatan Kebajikan akan menyegerakan memberi mereka uniform.
“Tapi sementara itu, mulai esok mereka harus pergi ke sekolah dan akan ada kelonggaran, tidak perlu pakai uniform sekolah buat sementara waktu.
“Kalau perlu bantuan dari segi kenderaan untuk ke sekolah dan sebagainya, nanti kita pastikan supaya ada usaha.
“Saya tidak mahu beban satu ditampung oleh beban yang lain dan anak-anak ini kita ketepikan dari segi kemudahan persekolahan mereka,” katanya.






