KKM sangkal dakwaan label hologram gagal, masih berfungsi lindungi pengguna

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan dakwaan berhubung kegagalan sistem pengesahan ketulenan label hologram produk kesihatan adalah tidak tepat.

Sebaliknya, KKM menerusi kenyataan memaklumkan, mekanisme sedia ada terus berfungsi dengan baik dalam memastikan keselamatan pengguna.

“Sistem pengesahan label hologram kekal sebagai komponen penting dalam ekosistem kawal selia yang dilaksanakan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) bagi mengekang pengedaran produk tidak berdaftar atau palsu di pasaran.

“Ekosistem keselamatan produk kesihatan di pasaran kekal kukuh dan terkawal,” katanya, pada Khamis.

Mengulas lanjut, KKM memaklumkan pemantauan komprehensif sentiasa dijalankan merangkumi proses pendaftaran produk, pelesenan premis serta audit rantaian bekalan.

Katanya, langkah sedemikian diambil bagi memastikan setiap produk kesihatan yang berada di pasaran mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti yang ditetapkan.

“Sebagai langkah pendigitalan dan penambahbaikan berterusan bagi menangani isu pemalsuan, aplikasi MyUBAT telah dinaik taraf sebagai platform tunggal penentu sah ketulenan label keselamatan produk.

“Aplikasi berkenaan kini berkemampuan untuk mengimbas semua versi label keselamatan hologram KKM, sama ada versi terdahulu mahupun semasa.

“Selain itu, pengesahan ketulenan produk juga boleh dilakukan di premis farmasi berlesen yang dilengkapi dengan peralatan pengesahan khusus KKM,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, KKM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran produk tidak berdaftar atau aktiviti pemalsuan label keselamatan.

“Orang awam diseru untuk sentiasa mendapatkan produk daripada premis yang sah, menggunakan aplikasi MyUBAT bagi tujuan semakan dan segera melaporkan sebarang keraguan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Kenyataan KKM itu sebagai respons kepada laporan media berhubung kebimbangan mengenai lambakan produk kesihatan tidak sah dan dakwaan mekanisme pengesahan label hologram KKM tidak berfungsi yang ditegaskan sebagai tidak tepat.

Related Posts

MADANI Mart permudah akses barangan asas pada harga berpatutan

PUTRAJAYA – Inisiatif MADANI Mart menyasarkan pembukaan satu cawangan bagi setiap Dewan Undangan Negeri sebagai sebahagian visi capaian nasional untuk memastikan lebih ramai rakyat memperoleh barangan keperluan pada harga berpatutan.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

JAIP tarik sijil halal 2 syarikat pembekal makanan

JAIP tarik sijil halal 2 syarikat pembekal makanan

Lelaki 59 tahun ditahan, disyaki terlibat kes rogol kanak-kanak OKU

Lelaki 59 tahun ditahan, disyaki terlibat kes rogol kanak-kanak OKU

KKM sangkal dakwaan label hologram gagal, masih berfungsi lindungi pengguna

KKM sangkal dakwaan label hologram gagal, masih berfungsi lindungi pengguna

Bayern ke final Piala Jerman hasil gol Diaz, Kane

Bayern ke final Piala Jerman hasil gol Diaz, Kane

City di puncak EPL lepas menang tipis atasi Burnley

City di puncak EPL lepas menang tipis atasi Burnley

Malaysia tegaskan tiada keputusan unilateral boleh dibuat berkaitan Selat Melaka

Malaysia tegaskan tiada keputusan unilateral boleh dibuat berkaitan Selat Melaka