
SARATOK – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun bagi membantu siasatan kes rogol melibatkan seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) di sini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie, memaklumkan bahawa suspek ditahan pada hari Selasa di sebuah rumah panjang sekitar Saratok susulan maklumat yang diterima pihak polis.
Menurut beliau, kejadian terbongkar selepas ibu mangsa berusia 37 tahun membuat laporan polis apabila anaknya mengadu mengalami kesakitan ketika membuang air kecil.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 13 tahun empat bulan merupakan pelajar tingkatan satu dan tergolong sebagai OKU fizikal,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, mangsa turut mendakwa telah dipaksa melakukan perbuatan tersebut oleh suspek yang merupakan jiran keluarga mereka.
Suspek yang tidak bekerja dan berstatus duda kini ditahan di lokap Balai Polis Saratok bagi tujuan siasatan lanjut serta permohonan reman.
Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.





