WASHINGTON – Presiden Donald Trump, semalam melaungkan ikrar untuk melaksanakan tarif baharu terhadap sekutu Eropah sehinggalah Amerika Syarikat (AS) dibenarkan ‘membeli’ Greenland, sekali gus meningkatkan pertikaian mengenai masa depan pulau Artik milik Denmark itu.
Dalam satu hantaran di Truth Social, Trump berkata, tarif import tambahan sebanyak 10 peratus akan berkuat kuasa 1 Februari ke atas barangan dari Denmark, Norway, Sweden, Perancis, Jerman, Belanda, Finland dan Great Britain — yang kesemuanya sudah pun tertakluk kepada tarif yang dikenakan Trump.
Trump berkata, tarif itu akan meningkat kepada 25 peratus pada 1 Jun dan akan diteruskan sehingga satu perjanjian dicapai bagi AS membeli Greenland.
Trump berulang kali menegaskan dia tidak akan menerima apa-apa, selain pemilikan Greenland, sebuah wilayah autonomi Denmark.
Pemimpin Denmark dan Greenland pula menegaskan, pulau itu bukan untuk dijual dan tidak mahu menjadi sebahagian dari AS.
Tinjauan Reuters/Ipsos terhadap penduduk AS minggu ini mendapati, kurang daripada seorang daripada lima responden menyokong idea untuk memperoleh Greenland.
Presiden berulang kali berkata, Greenland penting kepada keselamatan AS kerana lokasi strategiknya dan simpanan mineral yang besar, serta tidak menolak penggunaan kekerasan untuk mengambilnya.
Negara-negara Eropah minggu ini menghantar anggota tentera ke pulau itu atas permintaan Denmark.







