KOTA KINABALU – Pemeriksa Dokumen, Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh, dalam keterangannya di Mahkamah Koroner pada Isnin mendedahkan bahawa sebahagian tulisan tangan pada barang kes bukan ditulis oleh arwah Zara Qairina Mahathir.
Saksi kedua prosiding itu berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap 21 barang kes yang terdiri daripada helaian kertas serta buku bertulisan tangan sebelum perbandingan dijalankan dengan contoh tulisan tangan arwah.
“Setelah perbandingan dilakukan, saya mendapati tulisan tangan yang dipertikaikan pada helaian ‘Y1’ hingga ‘Y7’ dan ‘Y9’ hingga ‘Y15’ menunjukkan persamaan signifikan dengan contoh tulisan tangan ‘Zara Qairina binti Mahathir’ bertanda ‘SA’.
“Oleh itu, saya berpendapat ia ditulis oleh penulis contoh,” katanya.
Beliau menjelaskan, penemuan sama turut diperoleh pada helaian bertanda ‘Y8’, selain dua lagi helaian ‘W1’ dan ‘W2’ yang juga sepadan dengan tulisan tangan contoh.
Namun, katanya, terdapat perbezaan jelas bagi beberapa bahagian lain.
“Bagi muka surat 2, 7 hingga 14, 25 hingga 37, 46, 58 hingga 64 dan 73 hingga 89, ia menunjukkan perbezaan signifikan yang mencukupi.
“Oleh itu, saya berpendapat tulisan tangan pada bahagian tersebut tidak ditulis oleh penulis contoh.
“Tulisan tangan yang dipertikaikan pada ‘W3’ pada muka surat 1 adalah campuran tulisan tangan penulis contoh dan seorang yang lain,” jelasnya.
Menurut beliau pemeriksaan dibuat mengguna kanta pembesar dan peralatan saintifik Video Spectral Comparator.
Tambah Nurul Atiqah, selepas selesai analisis, semua ekshibit dimasukkan semula ke dalam beg barang kes asal dan dimeterai kembali menggunakan label keselamatan Jabatan Kimia Malaysia.





