
LAHAD DATU – Kenyataan awam yang bersifat menghina, mengelirukan atau cuba mengganggu prosiding Mahkamah Koroner adalah bersifat sub judice, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan dalam perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara memandangkan inkues Zara Qairina Mahathir berjalan di Mahkamah Koroner.
“Sekiranya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima aduan daripada pihak peguam atau awam mengenai kenyataan yang dibuat, platform media sosial boleh diminta untuk menurunkannya.
“Saya lihat setakat ini mungkin ada beberapa pihak tapi kita tidak boleh mengganggu proses mahkamah.
“Biarakan segala perbincangan itu diuruskan oleh Mahkamah Koroner tersebut,” katanya kepada media bagi mengulas lanjut berkenaan tindakan kepada platform media sosial berkaitan inkues Zara selepas meninjau Menara Kampung Sepagaya di Lahad Datu, pada Sabtu.
Untuk rekod, tarikh prosiding inkues Zara bermula pada 3 dan 4 September lalu dan akan bersambung pada 8 hingga 12, 17 hingga 19 serta 22 hingga 30 September ini.
Difahamkan, setakat ini seramai 68 orang termasuk kanak-kanak selain pasukan forensik, Jabatan Patologi dan lain-lain menjadi saksi prosiding inkues terbabit.





