
GAZA – Sekurang-kurangnya empat rakyat Palestin terkorban dalam serangan udara dron Israel yang menyasarkan sebuah rumah di timur Kota Gaza pada Isnin, menjadikan angka korban mencecah 41,600 orang.
Memetik laporan Anadolu, sumber perubatan di Hospital Al-Ahli Baptist memberitahu bahawa empat rakyat Palestin terbunuh dan enam lagi cedera dalam serangan di kawasan Kota Lama Gaza.
Menurut saksi, serangan tersebut memusnahkan sebuah apartmen, manakala pangsapuri lain di bangunan itu turut mengalami kerosakan teruk.
Terdahulu pada Isnin, sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin terbunuh dan berpuluh-puluh cedera dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza, termasuk seorang ibu, suami dan dua anak yang terbunuh apabila pesawat pejuang mengebom sebuah rumah di bandar Deir al-Balah, kata sumber perubatan.
Israel meneruskan serangan kejamnya di Semenanjung Gaza berikutan serangan oleh kumpulan Palestin, Hamas pada 7 Oktober tahun lalu, walaupun resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu menggesa gencatan senjata segera.
Hampir 41,615 orang terbunuh sejak itu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 96,359 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Serangan Israel menyebabkan hampir keseluruhan penduduk wilayah itu kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah sekatan berterusan yang telah menyebabkan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk.
Israel menghadapi tuduhan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakannya di Gaza.






