Ekonomi negara diramal berkembang kukuh suku kedua tahun ini

PUTRAJAYA – Ekonomi Malaysia diramal berkembang 5.8 peratus pada suku tahun kedua 2024, meningkat dari 4.2 peratus pada suku tahun sebelumnya, demikian menurut jangkaan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Bagi separuh pertama tahun ini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 5.0 peratus berbanding 4.1 peratus bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Ia sekali gus seiring dengan unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan suku kedua 2024 itu juga adalah yang tertinggi sejak suku keempat 2022 pada 7.4 peratus.

“Ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan momentum pertumbuhannya, disokong faktor domestik dan eksport dengan prospek positif untuk baki tempoh tahun ini.

“Peningkatan perbelanjaan penggunaan isi rumah dirangsang oleh musim perayaan dan cuti sekolah serta pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 pada April lalu.

“Sejumlah RM6.98 bilion dikeluarkan dari Akaun 3 (Akaun Fleksibel) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat Jun 2024 untuk menyokong keperluan kewangan jangka pendek,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mohd Uzir berkata, anggaran pertumbuhan dicatatkan pada suku kedua adalah sejajar dengan indikator terkini seperti Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) yang masing-masing meningkat 6.1 peratus dan 2.4 peratus pada April dan Mei 2024 berbanding tahun sebelumnya.

Sementara itu, beliau berkata, nilai jualan borong dan runcit meningkat 6.6 peratus pada April dan 7.1 peratus pada Mei berdasarkan asas tahun ke tahun.

Bagi sektor luaran pula, jumlah perdagangan – eksport dan import – mengalami peningkatan berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

“Faktor lain termasuk peningkatan ketibaan pelancong serta pengeluaran kelapa sawit dan kemajuan pembangunan projek mega,” katanya.

Mohd Uzir menambah, prestasi ekonomi pada suku tahun kedua dipacu oleh sektor perkhidmatan, dengan hampir semua sektor utama menunjukkan pertumbuhan yang lebih baik berbanding suku tahun sebelumnya.

Katanya, sektor perkhidmatan terus meningkat kepada 5.6 peratus berbanding 4.7 peratus pada suku pertama 2024, disokong subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan serta kewangan dan insurans.

Katanya, sektor pembuatan meningkat 4.7 peratus dari 1.9 peratus pada suku tahun sebelumnya, disokong pertumbuhan semua subsektor, terutamanya produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik.

“Di samping itu, sektor pembinaan kekal dengan pertumbuhan dua angka, 17.2 peratus didorong prestasi kukuh dalam semua subsektor, terutama kejuruteraan awam dan aktiviti pembinaan pertukangan khas.

“Sektor pertanian juga meningkat 7.1 peratus pada suku tahun ini, disumbangkan pertumbuhan memberangsangkan dalam subsektor kelapa sawit.

“Sementara itu, sektor perlombongan dan pengkuarian bertumbuh perlahan kepada 3.3 peratus berbanding 5.7 peratus pada suku tahun sebelumnya, disebabkan subsektor gas asli yang menyederhana,” katanya.

Related Posts

Program perkasa usahawan wanita terus diperluas di utara Sabah

KOTA KINABALU – Usaha memperkasa usahawan wanita muda kini diperluas di utara Sabah menerusi penganjuran Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda Sabah: Kuasa Wanita, Kuasa Ekonomi yang akan berlangsung pada 23…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kerjasama dengan Petronas kukuh hak Sabah dalam industri minyak, gas

KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah kini mengalas peranan lebih besar dan mempunyai hak bersuara dalam industri minyak dan gas selepas termeterainya Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas baru-baru ini,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Program perkasa usahawan wanita terus diperluas di utara Sabah

Program perkasa usahawan wanita terus diperluas di utara Sabah

Warden daripada bekas pegawai tentera dan polis, dua MRSM terlibat fasa awal – Asyraf Wajdi

Warden daripada bekas pegawai tentera dan polis, dua MRSM terlibat fasa awal – Asyraf Wajdi

Himpunan Turun Anwar sekadar drama politik, pembangkang terdesak kekal relevan

Himpunan Turun Anwar sekadar drama politik, pembangkang terdesak kekal relevan

Fadhlina beri perhatian isu pendidikan di Kota Marudu – Zaidi

Fadhlina beri perhatian isu pendidikan di Kota Marudu – Zaidi

Pemancing hilang di Umas-Umas

Pemancing hilang di Umas-Umas

Kerajaan Sabah perkenal inisiatif BAYU, bantu pelajar bayar yuran MUET

  • By Ynom
  • July 20, 2025
Kerajaan Sabah perkenal inisiatif BAYU, bantu pelajar bayar yuran MUET