
KOTA KINABALU – Dua unit ‘pendrive’ berjenama SanDisk berwarna silver dan Kingston berwarna hitam serta seunit cakera padat (DVD) digunakan untuk menyimpan bahan bukti dalam kes kematian Zara Qairina Mahathir.
Menurut saksi ke-70, Asisten Superintenden Polis (ASP) Mohd Zaidi Abu Hassan yang merupakan seorang Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer, Polis Diraja Malaysia (PDRM), 44, berkata, beliau telah menggunakan tiga peranti tersebut kerana saiz yang terlalu besar untuk dimuatkan dalam satu peranti.
“Untuk 11 telefon bimbit serahan yang pertama, data yg dihasilkan terlampau besar jadi terpaksa disalin dalam dua unit pendrive, bagi empat telefon bimbit sahaja hasil analisis sehingga 70 Gigabites (GB), so saya pecahkan kesemua.
“Bagi hasil analisa bertanda WF1 sehingga WF4 disimpan dalam pendrive SanDisk berwarna silver dan WF5 sehingga WF11 disimpan dalam pendrive Kingston berwarna hitam, manakala empat telefon bimbit bertanda WK12 sehingga WK15 disimpan di dalam DVD,” katanya semasa prosiding di Mahkamah Koroner, di sini pada Khamis.
Terdahulu, Mohd Zaidi menerima 15 unit telefon bimbit pelbagai jenama berserta kad SIM diterima dalam satu plastik lut sinar pada dua tarikh berasingan, iaitu 8 dan 19 Ogos 2025, daripada Ibu Pejabat Polis Daerah, Papar, Sabah.
Dalam prosiding tersebut, Mohd Zaidi turut mengakses komputer untuk membuka kesemua folder yang telah dimasukkannya di dalam pendrive dan DVD.
“Bagi pendrive silver, ada empat telefon bimbit iaitu WF1 sehingga WF4, jadi di dalamnya ada 11 folder, saya buka salah satu.
“Satu folder iPhone Apple photo ini sahaja, ada 2,020 muka surat (ms). audio Whatsapp 112 ms, chat Whatsapp ada 4,360 ms, ‘general information’ 10 ms.
“Selain itu, photo telegram lapan ms, gambar Tik Tok 49 ms, gambar Whatsapp 3,625 ms, video apple photo 978 ms, video telegram enam ms, video TikTok 14 ms, video wasap 52 ms, Ini untuk tandakan WF1 sahaja,” jelasnya.
Tambahnya lagi, beliau turut membuka pendrive Kingston warna hitam yang bertanda WF5 sehingga WF11 dan memberitahu terdapat tujuh folder di dalamnya, manakala bagi tandaan telefon bimbit WK12 sehingga WK15 di dalam DVD bersaiz hampir 4GB.
Dalam pada itu, Mohd Zaidi turut memberitahu mahkamah terdapat tiga telefon bimbit bertanda WF6, WF7 Dan WK13 tidak dapat dianalisis.
Jelasnya, ia berpunca daripada kerosakan fizikal (kerosakan pada skrin) yang menyebabkan pihaknya tidak dapat mengaksesnya.
Bagaimanapun, Mohd Zaidi menjelaskan data dalam telefon tersebut masih boleh diperoleh menggunakan kaedah lain.
“Perbaiki skrin atau menukar skrin dapat mengakses data tersebut,” katanya semasa menjawab soalan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sofia S Sawayan.







