
FIGURA Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membawa karektor seorang tokoh berdiplomasi dan penuh wibawa di pentas antarabangsa memaparkan kepada dunia bahawa Malaysia dikemudi oleh kepimpinan yang berfokus kepada nilai dan masyarakatnya.
Navigasi kepimpinan berdiplomasi Anwar memberi nilai tambah kepada Malaysia untuk menarik sokongan pelaburan, mengukuhkan hubungan bilateral atau multilateral bahkan lebih daripada itu.
Skill diplomasi yang ditata oleh Anwar ini penting dalam membuat keputusan yang mengutamakan nilai kedaulatan kenegaraan bagi Malaysia.
Pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, komunikasi penting dalam hubungan antarabangsa dan kewibawaan seseorang sosok pemimpin akan terpamer jika mampu menzahirkan keyakinan dan kepercayaan dengan pendekatan yang pelbagai.

“Ini adalah keistimewaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang digunakan untuk memastikan terjemahan dan keakraban menjadi suluhan dalam hubungan dengan pemimpin dan negara lain.
“Sikap dan watak diplomasi Anwar ini juga mampu menjauhkan konflik dan mengukuhkan keupayaan untuk menterjemahkan dasar hubungan dengan negara luar dalam bentuk pelaksanaan yang baik,” katanya kepada The Malaysia Press pada Isnin.
Menurut beliau lagi, kewibawaan Anwar ini sangat dicari oleh kepimpinan di peringkat global khususnya dalam mempertahankan isu kemanusiaan, hak asasi, konflik dan penindasan.
“Ia juga adalah formula untuk membina masa depan cemerlang bagi negara untuk bersaing dengan negara lain.
“Bahkan sejak era 90-an lagi Anwar sudah menjadi pemimpin berpengaruh dan kini dinobat antara 15 pemimpin Muslim dunia yang disegani kerana pengaruh dan kewibawaan beliau,” ujarnya.





