
KOTA KINABALU – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil keputusan menangguhkan notis perobohan dan pengosongan Kampung Sembulan Tengah.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, tindakan perobohan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan itu ditangguhkan sehingga perbincangan bersama pemilik tanah dan wakil penduduk yang akan diadakan pada 8 Oktober depan.
Tambah beliau, antara sebab notis tersebut dikeluarkan adalah bagi memberi ruang kerja-kerja pembersihan.
“Sebab itulah DBKK mengeluarkan notis tersebut kerana sekarang tempat ini memang terlalu kotor dengan sampah-sarap yang tidak terurus.
“Aduan-aduan bukan saja daripada pelancong malah orang tempatan sendiri turut mengadu tempat yang di atas air sekarang ini terlalu kotor.
“Jadi apa yang kita akan buat selepas 14 hari, tindakan untuk membersihkan kawasan itu akan diteruskan.
“Maksud saya DBKK akan masuk untuk membersihkan sampah sarap tersebut. Itu adalah tanggungjawab DBKK,” katanya.
Pihaknya mengalu-alukan pemilik lot yang ingin datang berbincang untuk berjumpa dengan DBKK.
Justeru itu, jelasnya, keputusan lanjut mengenai notis tersebut akan dibuat berdasarkan hasil perbincangan yang akan diadakan pada 8 Oktober nanti.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan pengeluaran notis itu bukan arahan daripada Ketua Menteri Sabah sebaliknya ia adalah atas kuasa DBKK.
“Sebarang pengeluaran notis ini adalah rutin kerja DBKK, kita tidak memerlukan kebenaran daripada Setiausaha Kerajaan Negeri ataupun Ketua Menteri untuk mengeluarkan notis,” jelasnya semasa sesi perjumpaan bersama para penduduk Kg. Sembulan Tengah di Dewan Serbaguna Sembulan, di sini pada Sabtu.
Maklum balas perkara itu adalah susulan daripada bantahan wakil para penduduk yang tidak bersetuju dengan notis pengosongan pada 19 September yang dikeluarkan dalam tempoh masa yang amat singkat di samping tidak mempunyai penjelasan kukuh.
Sebagai rekod, kira-kira lebih 1,000 penduduk yang terkesan daripada notis arahan untuk para penduduk bagi mengosongkan kawasan tersebut dalam tempoh 14 hari tarikh notis diterima.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Kerja Raya Sabah merangkap Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya.