
PUTRAJAYA – Pertukaran cuti hujung minggu di Johor yang akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad mulai Januari tahun depan akan melibatkan penyelarasan di peringkat pusat dan negeri.
Bagaimanapun, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, penyelarasan itu perlu dibuat supaya tidak timbul sebarang isu yang boleh mengganggu perkhidmatan khususnya membabitkan agensi pusat.
Menurutnya, ia akan diuruskan secara sistematik agar tidak berlaku sebarang permasalahan daripada segi memberi layanan yang terbaik kepada masyarakat setempat.
“Titah pemangku Sultan Johor (mengenai pertukaran semual cuti hujung minggu) di peringkat Jemaah Menteri hari ini tidak dibincangkan.
“Bagaimanapun, semestinya dari segi penyelarasan di peringkat pusat dan juga negeri itu dari segi pentadbiran memang akan diuruskan, supaya tidak berlaku apa-apa isu dari segi memberi perkhidmatan terutama oleh agensi Persekutuan,” katanya pada sidang media selepas pasca Mesyuarat Kabinet, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada penyelarasan semula cuti hujung minggu di Johor ada dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri.
Terdahulu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dilaporkan bertitah, cuti hujung minggu di negeri itu akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.
Tunku Mahkota Ismail bertitah, perkara tersebut mendapat perkenan dan restu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Bermula 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim telah mengubah cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan agama Islam sebagai agama rasmi Johor.
Perubahan itu sebelum ini sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat-Sabtu) yang telah dilaksanakan Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula tahun 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar.






