KUALA LUMPUR – UMNO tidak seharusnya menutup mata dan perlu terbuka untuk mengakui bahawa parti itu berdepan satu ‘penyakit’ yang disifatkan sebagai sindrom penafian.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kegagalan dalam beberapa pilihan raya lalu tidak seharusnya dipandang ringan hanya dengan keyakinan bahawa kemenangan akan kembali tanpa sebarang pembetulan yang jelas dalam pendekatan parti.
Katanya, sikap menafikan kekalahan tanpa sebarang perubahan hanya akan menyebabkan parti itu terus mengulangi kesilapan sama.
“Hari ini kita kena mengaku UMNO ini ada satu penyakit iaitu Denial Syndrome (sindrom penafian). Bila kita kalah, kita tetap kata tidak mengapa, nanti kita akan menang. Tetapi hakikatnya kita tidak buat apa-apa perubahan.
“Kita kalah dua kali dan masih menganggap keadaan itu biasa kerana yang penting hari ini kita berada dalam kerajaan,” katanya ketika berucap pada Sesi Penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Dr Akmal berkata, kedudukan dalam kerajaan serta pelbagai jawatan yang disandang oleh kepimpinan UMNO tidak wajar dijadikan alasan untuk parti berasa selesa sekiranya sentimen rakyat tidak berubah.
Katanya, pemberian bantuan serta pelbagai inisiatif tidak semestinya menjamin kemenangan pilihan raya sekiranya pendekatan politik tidak berubah.
“Hari ini kita mempunyai menteri, timbalan menteri, ketua menteri dan menteri besar yang bekerja keras. Namun persoalannya, adakah kerja keras itu benar-benar dirasai oleh rakyat?
“Saya tidak menafikan prestasi menteri-menteri kita yang bekerja kuat dan melaksanakan pelbagai usaha untuk rakyat. Perlu diingatkan sebelum kita tewas dahulu, pelbagai perkara telah kita buat untuk rakyat, namun akhirnya kita tetap kalah dalam pilihan raya,” katanya.
Sementara itu, beliau juga menghargai ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuka pintu untuk bekas pemimpin dan ahli parti kembali ke pangkuan UMNO.
“Kalau kita mahu kira luka lama, cukuplah kita rawat luka kita. Apa yang paling penting, kita ada agenda iaitu untuk perkuat bangsa, agama dan negara.
“Pemuda lantang bersuara bukan marah, sebab itulah hakikat sebenarnya di bawah, lantang bukan benci, tapi sayang pada parti keramat ini,” katanya.







