KUALA LUMPUR – UMNO mesti bersedia untuk ‘berjalan sendiri’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, walaupun ketika ini telah membentuk kerjasama pada peringkat Persekutuan.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, parti itu perlu mengambil pengajaran daripada PRN Sabah lalu yang mana UMNO bawah Barisan Nasional (BN) bergerak solo, manakala Pakatan Harapan (PH) yang menjadi rakan kerjasama pada peringkat Persekutuan pula bergabung dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Jelasnya, parti boleh berkawan serta bekerjasama dengan sesiapa sahaja namun, UMNO perlu memastikan parti itu tidak ditelan, tidak hilang dan tidak dipinggirkan
“Perjuangan ini tidak boleh bersifat pasif. Kita boleh berkawan serta bekerjasama dengan sesiapa saja tetapi kita mesti memastikan UMNO tidak ditelan, tidak hilang dan tidak dipinggirkan.
“Jadikan PRN Sabah itu sebagai model jelas, berprinsip dan berpaksikan kekuatan sendiri. Kita boleh bersama di pusat tetapi tidak boleh menggunakan pendekatan sama di negeri. Inilah yang dinamakan interaksi kuasa hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di sini, hari ini.
Sementara itu, Nurul Amal berkata, Puteri menyambut baik usaha penyatuan bangsa yang digariskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam, sekali gus percaya negara memerlukan proses penyatuan semula yang jujur dan matang.
Namun, menurut beliau, dalam penyatuan semula bangsa itu, ada beberapa perkara yang perlu diambil kira yang mana UMNO boleh bersama peringkat Pusat tetapi tidak boleh menggunakan pendekatan yang sama di negeri.
“Naratif yang dibina parti itu tidak boleh bercanggah dengan tindakan di lapangan.
Kita membina naratif baharu dan betulkan kembali persepsi.
“Jika kita membawa naratif penyatuan dan perdamaian, maka pendekatan politik yang dilaksana juga mesti mencerminkan semangat itu, bukan sebaliknya.
“Jika kita membawa naratif penyatuan dan perdamaian, maka pendekatan politik yang dilaksana juga mesti mencerminkan semangat tersebut bukan sebaliknya,” katanya.





