
PUTRAJAYA – Kira-kira 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas, yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter, menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bermula hari ini.
Semua rakyat yang layak menerima siling bulanan RON95 bersubsidi hingga 300 liter sebulan dan penetapan berkenaan adalah berdasarkan dapatan kajian oleh Jabatan Perangkaan (DOSM).
Inisiatif ini bukan sekadar soal harga murah, namun mempamerkan keadilan, keberkesanan daripada Kerajaan MADANI dalam memastikan rakyat menerima manfaat sebenar daripada setiap ringgit subsidi.
Dengan harga baru RM1.99 seliter, rakyat dapat menikmati subsidi dengan mudah, sementara penjimatan daripada pemansuhan subsidi pukal digunakan untuk program bersasar seperti STR dan SARA.
Rata-rata masyarakat awam juga berpuas hati terhadap platform yang dirangka kerajaan dalam membuat pengesahan menggunakan MyKad dan boleh membayar dengan menggunakan kaedah pilihan sama ada secara bayaran tunai, kad kredit, debit mahupun e-dompet.
Mereka menyifatkan sistem tersebut bukan sahaja mudah, malah telus kerana dapat memastikan bantuan disalurkan tepat kepada golongan sasaran tanpa sebarang kerenah birokrasi.
Pesara kerajaan, Abdullah Muji, 64, berkata, walaupun belum dapat membiasakan diri dengan penggunaan MyKad untuk menggunakan subsidi RON95 namun menyakini kaedah itu senang dikuasai dengan cepat susulan tidak sulit dalam mengaplikasi BUDI95.

“Letak MyKad sahaja sudah cukup. Tidak perlu isi borang atau tunggu lama. Ia memang mesra pengguna. Malah, apa yang menariknya, bukan sahaja boleh bayar secara tunai, boleh guna e-dompet atau menerusi aplikasi yang disediakan oleh stesen minyak.
“Malah, petugas stesen minyak juga sangat membantu dan membuktikan mereka terlatih dalam melaksanakan insiatif itu kepada orang ramai. Hari ini saya isi RM30 untuk cuba penggunaannya, alhamdulillah ada berlaku penjimatan sekitar kira-kira RM5,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Sementara itu, penghantar makanan, Muhammad Aiman Syahmi, 23, menyifatkan inisiatif BUDI95 sebagai langkah tepat daripada Kerajaan MADANI bagi meringankan beban dihadapi rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Beliau juga mengakui tidak menghadapi masalah menggunakan kaedah baharu dalam menikmati insiatif subsidi RON95.

“BUDI95 ini adalah insiatif bermakna daripada kerajaan kerana lazimnya saya membelanjakan RM7 untuk penuhkan minyak motosikalnya, namun kini hanya perlu membayar RM5.47. Terbukti berlakunya penjimatan.
“Saya menghargai langkah positif ini, nak dapatkan subsidi minyak (RON95) pula amat mudah hanya tinggal gunakan kad pengenalan sahaja. Kami rakyat berharap agar usaha murni ini diteruskan untuk jangka masa panjang biarpun bertukar kerajaan,” katanya.
Bagi penjawat awam, Mohd Fadlul Azmi Kodirun, 38, menyifatkan dasar itu sebagai serampang dua mata yang memberi manfaat kepada rakyat melalui penjimatan kos minyak, sementara kerajaan pula berupaya menangani isu ketirisan subsidi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, proses pengisian petrol juga adalah mudah, selain inisiatif BUDI95 ini sangat meringankan beban kewangannya dan hasil penjimatan boleh digunakan untuk membeli barang keperluan asas.
“Setiap bulan saya akan membelanjakan RM200 untuk berulang alik dari Kajang ke tempat kerja di Bangi. Jadi, dengan bantuan menerusi BUDI95 ini perbelanjaan saya mungkin berkurangan antara 20 ke 30 peratus.
“Dengan penjimatan itu boleh saya gunakan untuk membeli keperluan harian, khususnya lampin pakai buang dan susu untuk dua anak orang anak saya yang masih kecil,” katanya.





