
KOTA KINABALU – Prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, dijangka belarutan sehingga Pilihan Raya Negeri ke -17 (PRN 17) Sabah.
Peguam bela, Datuk Ram Singh berkata, jangkaan tersebut berdasarkan jumlah saksi yang belum dipanggil untuk membuat keterangan, selain penambahan daripada saksi bagi setiap peguam bela.
“Hakim Koroner membuat analisis bahawa kita baru sampai kira-kira 19 peratus sahaja dalam kes ini, berdasarkan senarai saksi.
“Pada awalnya dijadualkan sehingga 30 September. Namun begitu, sekarang baru 14 saksi daripada lebih kurang 68 orang.
“Jadi baru 19 peratus daripada keseluruhan kes,” katanya dalam sidang media selepas selesai prosiding inkues di Mahkamah Koroner, pada Isnin.
Tambahnya, selepas prosiding pada Isnin, mereka ada buat sedikit penilaian tentang berapa ramai lagi saksi yang akan dipanggil.
“Kami mungkin tambah seorang sahaja. Mungkin. Kami pun tidak maklumkan kepada mahkamah, tapi besar kemungkinan akan panggil seorang lagi saksi pakar. Saksi pakar.
“Peguam keluarga Zara juga ada nyatakan berapa ramai saksi yang mereka mahu panggil, ditambah dengan peguam-peguam lain,” katanya.
Jelasnya, melihat perkembangan sekarang, mungkin kes ini akan berlanjutan melepasi musim pilihan raya.





