
KENYATAAN bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa dilihat seolah-olah mengakui Perikatan Nasional (PN) belum memiliki calon Perdana Menteri (PM) yang benar-benar meyakinkan untuk ditampilkan kepada rakyat.
Menurut beliau, soal siapa yang wajar dicalonkan sebagai Perdana Menteri bukan keutamaan ketika ini, sebaliknya parti-parti menyokong PN perlu menumpukan kepada usaha memperkukuh organisasi masing-masing serta membina muafakat yang berwibawa.
“Tinggalkan dulu agenda mencadangkan siapa bakal PM. Berikan tugas itu kepada badan gabungan dan muafakat.
“Bila tiba masanya, dan tidak harus di buat secara unilateral. Harus ada syura rentas parti,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau, pada Isnin.
Pada Ahad, Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 sebulat suara bersetuju mencalonkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri ke-11 dari parti itu.
Annuar menegaskan, realiti politik semasa menunjukkan tiada satu pun parti mempunyai kekuatan bergerak sendirian, malah kuasa melantik Perdana Menteri tetap terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh dilihat dengan nada sinis memaklumkan, rakyat kini mendambakan tokoh baharu yang mampu membawa sinar harapan, bukan sekadar retorik lama yang menjemukan.
“Yang di-Pertuan Agong akan melantik seorang Ahli Parlimen yang pada hemat baginda mendapat sokongan majoriti ahli dewan rakyat, justeru kuasa itu tidak seharusnya didahului.
“Rakyat mendambakan satu sosok yang berupaya membawa harapan baru dan pimpinan yang segar, setelah sekian lama tertipu dan terpedaya dengan retorik pemimpin. Rakyat bosan.
“Sehubungan itu penting untuk sesebuah parti menyucikan diri terlebih dahulu dengan memperbaiki imej dan dasar dan memulihkan kepercayaan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Annuar memaklumkan, parti politik juga perlu mempersiapkan saf pimpinan dengan barisan pelapis yang berintegriti tinggi serta keupayaan membawa negara ke ufuk yang baharu.
“Pilih jalan yang damai. Bangunkan negara penuh berkebajikan untuk rakyat. Jauhi kleptokrat dan pimpinan tidak berintegriti.
“Pimpinan yang bersih, baik, beriman, bertakwa, serta berkeupayaan akan membawa rahmat dan keberkatan. Usah ditumpu pada dendam kesumat, tapi tumpu pada khidmat dan membela rakyat,” katanya.





