
SELALU berlegar-legar ungkapan “Saya cinta akan Rasulullah SAW”, “Kami sayang akan Nabi Muhammad SAW”, “Rasululullah SAW ikutan kami”, dan sebagainya.
Kadangkala ungkapan itu terpapar di pemidang, gegantung, sepanduk; kedengaran di corong-corong radio; tertulis pada lembaran akhbar, majalah, atau skrin telefon.
Yang lebih hebat, ungkapan sedemikian itu dijadikan “bahan kempen” parti politik tertentu untuk menjayakan naratif kelangsungan mereka di mata masyarakat.
Persoalannya (isunya, perkara pokoknya, permasalahannya) sekarang, benarkah kita cinta akan Rasululllah SAW?
Kita sedia maklum bahawa selain menjadi hamba Allah yang taat, nabi yang disanjung, dan Pesuruh Allah yang memiliki mukjizat yang agung, Rasulullah SAW merupakan ahli masyarakat yang beradab, ahli ekonomi yang bagus, ahli politik yang berketrampilan, dan panglima perang yang unggul.
Oleh sebab itu, setiap tahun kita menyambut hari ulang tahun kelahiran baginda yang jatuh pada 12 Rabiul Awal dengan pelbagai cara sejajar dengan ajaran Islam.
Masalahnya, sambutan itu sampai ke mana?
Adakah kita sekadar mengadakan majlis di sesebuah dewan yang besar, berdiskusi itu dan ini, menaratifkannya di pelbagai pentas, terutama pentas politik?
Cukupkah hanya dengan berbuat demikian maka kita sudah boleh mengatakan bahawa kita cinta akan Rasulullah SAW?
Apakah wajar kita membuat dakwaan itu sedangkan kita masih lagi melabelkan orang yang tidak kita sukai dengan pelbagai gelaran sungguhpun kita ini seagama walaupun mungkin tidak sebangsa?
Pertanyaan ini wajar direnung kerana dalam kalangan sebahagian masyarakat negara ini mutakhir ini, perbuatan melabel pihak lain seakan-akan sudah “dihalalkan”.
Cuba lihat apa-apa yang dipaparkan di dinding sesetegah media sosial, umpamanya akaun Facebook K*p*k Utara yang dipercayai penyokong sebuah parti politik.
Hantaran yang dipaparkan oleh penyelenggara akaun itu amat biadab, dipenuhi fitnah, sarat dengan kebencian, dan sangat terburu-buru dalam menyimpulkan sesuatu isu.
Selain memaki hamun dan mencaruti pemimpin kerajaan, hantarannya berat sebelah, mewujudkan kebencian, kerap memainkan isu 3R (isu sensitif kaum, agama, raja cc).
Sesetengah pemimpin politik yang kononnya sangat beragama dan ada penceramah agama yang cenderung kepada parti politik tertentu pula memperagakan kata-kata yang sangat tidak beradab.
Apabila ditegur, dikatakan bahawa frasa seperti “kepala bapak hang”, “Hang bodo”, “bodo mung”, “nnatang” “beruk”, dan “babi” itu membawa maksud yang baik.
Sampai begitu sekali dipusingkan naratif tersebut. Allahurabbi, adakah itu satu contoh bahawa kita sayang akan Rasulullah SAW?
Terlalu banyak penyimpangan berlaku dalam masyarakat kita, tetapi yang lebih malang, pihak yang membawa kita ke titik yang salah ini orang yang kononnya beragama.
Hanya kerana mereka menduduki sebuah parti politik yang ada nama “Islam” tergamak merekla melanggar prinsip kehidupan mulia yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.
Kita perlu ingat bahawa Rasulullah SAW juga ahli masyarakat. Sebagai seorang ahli masyarakat, baginda amat santun, merendah diri, dan tidak pernah celopar.
Baginda juga ahli ekonomi. Sebagai ahli ekonomi, tidak pernah baginda memboikot pihak lain sebaliknya baginda jujur berniaga sehingga orang tertarik kepadanya.
Jangan lupa bahawa baginda juga ahli politik. Sebagai ahli politik, baginda sabar, tekal berjuang, dan tidak terburu-buru bertindak ke atas pihak lain sehingga musuh berubah sikap dan berpihak kepada baginda.
Sebagai panglima yang gagah perkasa di medan perang pula, baginda sangat adil dan tidak sewenang-wenangnya mencederakan musuh terutama yang sudah menyerah,
Semua kisah tentang keperibadian baginda sudah kita hadami tetapi sejauh manakah kita membuktikan bahawa kita sayang, dan kita cinta akan Rasulullah SAW?
Selagi kita tidak mengikuti amalan baginda, terutama yang melibatkan urusan sesama manusia, kita belum layak mengatakan bahawa kita cinta akan baginda.
Oleh sebab itu, berhentilah memaki hamun, mencarut, memfitnah, bertindak zalim, dan sebagainya atas apa-apa alasan sekali pun.
Rasulullah SAW juga sebenarnya guru terbaik kita. Patuhilah ajaran baginda!
Ingat, sebesar manapun serban anda; sebersih mana pun kopiah anda, dan setebal mana pun jubah anda, itu bukan ukuran anda mencintai Rasulullah SAW.