DALAM politik, kita sering diajar untuk curiga. Seolah-olah setiap senyuman itu latihan. Setiap sentuhan itu strategi. Setiap kata yang lunak itu telah disusun rapi untuk memenangi, bukan untuk difahami.
Lalu kita percaya bahawa dalam politik, keikhlasan itu hampir mustahil. Sebab itu, apabila kita melihat seorang pemimpin yang mudah menyapa, yang tidak terlalu kaku dengan protokol, yang sanggup berhenti hanya untuk mendengar, kita cepat-cepat melabel, ‘itu semua lakonan.’
Tetapi bagaimana jika ada pemimpin yang tidak pernah benar-benar belajar mendekati rakyat… kerana dia tidak pernah sempat menjauh daripada mereka? Di situlah kita perlu membaca Anwar Ibrahim dari lorong-lorong kecil sejarah hidupnya, bukan dari pentas kuasa.
Pada tahun 1974, di Baling, kemiskinan bukan angka dalam laporan. Ia adalah perut yang berlapar. Ia adalah ibu bapa yang memandang ke lantai ketika ditanya tentang esok. Bukan kerana tiada jawapan, tetapi kerana jawapan itu terlalu pahit untuk diucapkan.
Di tengah suasana itu, seorang anak muda berdiri sebagai suara yang enggan diam. Namun, peristiwa itu berakhir dengan gari. Dengan pintu besi yang tertutup. Dengan gelap sunyi yang panjang. Di situ, politik kehilangan romantiknya. Politik menjadi soal tubuh yang terkurung. Nafas yang disekat.
Dan sejarah itu tidak berhenti di situ. Pada tahun 1998, ketika negara berdepan krisis kewangan Asia, pertembungan berlaku di antara prinsip dan kuasa sehingga lahirnya gerakan Reformasi yang bukan sekadar gerakan politik, tetapi letusan kemarahan rakyat terhadap ketidakadilan. Di jalanan, suara-suara yang selama ini terpinggir mula menemukan keberanian. Dan sekali lagi, Anwar berdiri di tengah-tengah gelombang itu.
Mungkin dari situlah datangnya sesuatu yang sering kita salah tafsir hari ini. Cara Anwar menyapa. Cara dia berhenti. Cara dia mendengar tanpa tergesa-gesa.
Ia mungkin kelihatan seperti teknik. Kerana dalam politik, memang ada pemimpin yang belajar mendekati rakyat. Mereka diajar bahasa tubuh, nada suara dan bagaimana untuk kelihatan dekat.
Tetapi ada juga pemimpin yang tidak pernah sempat menjauh. Perbezaannya tidak selalu jelas. Tetapi ia boleh dirasai.
Bahkan, ketika dalam kerajaan, khususnya dalam bidang pendidikan, naratif itu tidak berubah arah. Pendidikan tidak dilihat sekadar sebagai dasar semata-mata, tetapi sebagai jalan yang boleh memutuskan kitaran kemiskinan yang diwarisi tanpa pilihan.
Dalam masa yang sama, pendekatan itu turut diterjemahkan dalam bentuk agenda ekonomi yang lebih dekat dengan rakyat terbawah melalui institusi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional, dan YAPEIM.
Dan hari ini, di bawah kerangka Malaysia MADANI, tema itu masih bernafas. Ia hadir dalam bentuk dasar. Dalam bahasa pentadbiran. Dalam usaha untuk mengangkat mereka yang paling bawah.
Kita boleh tidak bersetuju dengan pendekatannya. Kita boleh mempersoalkan keberkesanannya.
Tetapi satu perkara yang sukar untuk dinafikan bahawa garis yang menghubungkan Baling dan Putrajaya itu tetap wujud.
Masalahnya, politik jarang memberi kita masa untuk melihat semua ini. Kita terlalu cepat menilai. Kita melihat gaya, lalu kita menilai niat. Kita melihat bahasa tubuh, lalu kita menghukum keikhlasan. Sedangkan mungkin, kita sedang melihat sesuatu yang lahir dari sejarah yang belum selesai.
Maka muncul persoalan, bagaimana pengalaman hidup seorang manusia membentuk cara dia memahami keadilan?
Dalam kes Anwar, jawapan itu datang dalam serpihan pengalaman. Dari jalan berdebu di Baling. Ke jeriji besi penjara. Ke bilik darjah kementerian. Dan akhirnya ke Putrajaya.
Mungkin kerana itu juga, Anwar sentiasa menjadi figura yang sukar disepakati. Bagi sebahagian, dia pandai bermain emosi. Bagi sebahagian yang lain, dia terlalu lama menanggung luka untuk berpura-pura. Dan kita sering terperangkap di antara dua tafsiran itu.
Tetapi mungkin, untuk sekali ini, kita boleh memilih untuk tidak tergesa-gesa kerana dalam politik, tidak semua kedekatan itu lakonan.
Ada yang lahir daripada sejarah yang tidak pernah diberi peluang untuk sembuh sepenuhnya. Sejarah itu hadir secara diam. Dalam cara seseorang berhenti ketika orang lain berlalu. Dalam cara seseorang menunduk ketika orang lain hanya melihat, dan dalam cara seorang pemimpin memilih untuk terus mendengar.
Dan mungkin selama ini kita terlalu sibuk menilai sama ada dia ikhlas atau tidak. Hingga kita lupa untuk bertanya, berapa ramai antara kita yang benar-benar pernah berdiri cukup lama di sisi mereka yang tidak punya apa-apa… sebelum menghakimi seorang manusia yang pernah melakukannya?
*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)






