
IPOH – Bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Barisan Nasional (BN) akan memberi keutamaan dengan mengetengahkan lebih ramai calon muda dalam parti itu nanti.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, saranan tersebut dibuat bersandarkan kepada hipotesis kejayaan parti itu melalui calon muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan DUN Mahkota sebelum ini.
“Saya melihat kita tiada pilihan melainkan dengan mengetengahkan calon-calon muka baharu terutama dalam kalangan anak muda.
“Seseorang calon bukan hanya umurnya muda, tetapi mempunyai hubungan dan pendedahan baik di peringkat akar umbi yang mana pencalonannya mampu dan akan memberikan kemenangan yang cukup bergaya buat mewakili parti,”jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen BN Negeri Perak di Hotel Casuarina @ Meru, dekat sini, pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi BN Perak merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Pengerusi Pemuda BN, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Juga turut hadir, Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon serta Pengerusi MIC Perak, Tan Sri M Ramasamy.
Ia turut dihadiri wakil-wakil daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi, Pengerusi PKR Negeri, Mohamad Hairul Amir Sabri serta Ahli Jawatankuasa DAP Nasional, Howard Lee Chuan How.
Pada September lalu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 20,648 undi dengan undian sebanyak 27,995 undi.
Manakala pada Ogos lalu, calon muda BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berjaya memenangi kerusi DUN Nenggiri dengan majoriti 3,352 undi selepas memperolehi 9,091 undi.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, cadangan mengetengahkan calon muda pada PRU16 bukan bermaksud terus meminggirkan calon-calon muka lama.
Ia sebaliknya, jelas beliau, sebagai langkah parti buat memberi ruang dan peluang yang lebih luas kepada muka baharu bagi mewakili parti pada pilihan raya akan datang.
“Kita pernah muda dahulu. Kita juga ketika itu diberi peluang oleh pemimpin terdahulu.
“Parti mesti ada kombinasi antara calon lama dan baharu. Kini apabila mengambil alih kepimpinan, kita mesti memberi banyak peluang kepada calon-calon muda untuk menjadi calon pada PRU akan datang,”ujar beliau.
Terdahulu dalam ucapan perasmian Ahmad Zahid menyarankan agar BN dapat menggilap lebih ramai potensi calon muda untuk berhadapan PRU16 nanti.
“Kita mahu Puteri, Pemuda dan Wanita diberi keutamaan. Maka tinggalkan 10 peratus untuk ketua-ketua bahagian, termasuk saya,”ujarnya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga menyarankan agar BN turut memperkuatkan jentera masing-masing bersama kerjasama dengan PH, di samping menguasai era digital.