
TAWAU – Keputusan untuk tidak meletakkan calon PKR di Parlimen Tawau berbanding di Parlimen Kalabakan belum dimuktamadkan sepenuhnya, kata Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Menurutnya, dalam politik semua perkara yang berkemungkinan boleh berlaku dan parti kini masih dalam proses rundingan.
“Saya rasa dalam politik ini sebarang perkara boleh terjadi jadi kita doakan yang terbaik. Saya sebut usaha, doa dan tawakal.
“Tapi pada masa yang sama kena bersiap atas apa sahaja kemungkinan,” katanya kepada media selepas merasmikan Pusat Khidmat Biro Kesihatan, Biro Kebajikan, Biro Belia dan Sukan serta Biro Pendidikan Parlimen Tawau, di Jalan Sin Onn Tiku, pada Sabtu.

Mengenai isu tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sekiranya dimuktamadkan sebelum tamat penggal kerajaan kini, Nurul Izzah berkata, perkara itu tidak dapat diselesaikan dalam masa singkat kerana melibatkan perkara yang kompleks.
Bagaimanapun katanya, sembilan tuntutan telah selesai termasuklah kuasa perbekalan elektrik dan air kepada Sabah dan pembayaran dua kali dana interim kepada Sabah.
“Persoalannya sekarang ialah bagaimana ia dapat dilaksanakan di Sabah supaya manfaatnya benar-benar dirasakan oleh rakyat,” ujarnya.







