
SEMPORNA – Seorang anggota tentera dari Kompeni C, Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) maut manakala seorang lagi hilang ketika Operasi PASIR Semporna Siri 3/2025 di Pulau Mataking, di sini, pada Jumaat.
Komander Markas Angkatan Tugas Bersama 2, Brigedier Jeneral Abd Munir Abd Rani berkata, mangsa meninggal dunia dikenali sebagai Prebet Muhammad Irfan Haiqal Abdullah berumur 20 tahun.
“Mangsa ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas menerima bantuan perubatan.
“Sementara itu, Prebet Muhammad Zulkarnain Jaffar, 27 tahun, masih belum ditemukan dan usaha mencari serta menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta pasukan sahabat,” katanya dalam kenyataan media, pada Sabtu.
Menurut Abd Munir, kejadian dipercayai berpunca daripada insiden lemas, namun siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Sebarang perkembangan berkenaan insiden akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.







