JUARA Sepanyol, Barcelona mengemukakan aduan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF) berhubung keputusan pengadil yang dianggap tidak konsisten, selepas tewas 0-4 kepada Atletico Madrid dalam saingan Copa del Rey, kelmarin.
Kontroversi tercetus apabila gol Barca dibatalkan secara mengejut, mendorong kelab Catalan itu menulis surat kepada RFEF dan Jawatankuasa Pengadil Sepanyol (CTA) menuntut lebih ketelusan dalam pengadilan.
Dalam satu kenyataan rasmi, Barca menyifatkan surat itu sebagai ‘kebimbangan mendalam terhadap keputusan pengadil berulang kali yang merugikan kelab dan tiada standard jelas’.
Kelab itu menegaskan wujudnya ‘keputusan berbeza bagi insiden yang sama’ – yang menimbulkan kesan seolah-olah berlaku – ‘keputusan tidak konsisten’ selain mendakwa corak kesilapan pengadilan nyata sepanjang musim menjejaskan prestasi mereka dan ‘menghakis integriti pertandingan’.
Barcelona turut menuntut ketelusan dalam penggunaan VAR, termasuk kriteria lebih jelas bila pengadil dirujuk untuk menilai insiden, serta penerbitan penuh rakaman audio VAR.
Beberapa kelab lain turut melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pengadil musim ini, manakala Real Madrid kerap mengkritik pengadil melalui saluran televisyen mereka dalam dua musim terakhir.
Pada Februari 2025, Real Madrid menyiarkan surat terbuka mendakwa pengadilan Sepanyol ‘dimanipulasi’ dan ‘hilang kredibiliti sepenuhnya’ selepas tewas mengejut di tangan Espanyol.
Barcelona kini disiasat pihak berkuasa Sepanyol dalam kes rasuah sukan selepas didakwa membayar bekas timbalan presiden CTA, Jose Maria Enriquez Negreira 7 juta euro (RM32 juta) sepanjang beberapa tahun, namun kelab itu menafikan sebarang salah laku.





