
SANDAKAN – Sebanyak 1,139 kilogram minyak masak peket bersubsidi bernilai RM2,747 disita dalam serbuan di sebuah rumah di sini, pada Khamis.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Sandakan, Joe Azmi Jamil berkata, serbuan dijalankan pada pukul 9.47 malam oleh sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan.
”Hasil risikan selama seminggu mendapati semua peket bersaiz satu kilogram itu disimpan di dalam sebuah bilik tanpa permit atau lesen sah.
“Seorang wanita berusia 20 tahun berada di lokasi ketika serbuan dan rakaman percakapannya telah diambil bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan KPDN Sandakan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan.
“Individu yang disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan berulang, denda boleh meningkat sehingga RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun,” katanya dalam satu kenyaan media, pada Jumaat.
Tambahnya, syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta dan meningkat sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.
KPDN Sandakan akan terus memperkukuh pemantauan bagi memastikan bekalan yang bersubsidi sampai kepada golongan sasar.




