BELUM pun reda negara dimalukan dengan skandal tujuh pemain warisan mewakili skuad bolasepak kebangsaan, kini Malaysia berhadapan pula dengan kenyataan ‘overclaim’ bahawa orang Rom belajar membuat kapal daripada orang Melayu.
Dakwaan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof. Dr. Solehah Yaacob dari Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (AHAS KIRKHS) bahawa orang Rom belajar membuat kapal daripada orang Melayu sememangnya menarik, malah memberi rasa bangga terhadap sejarah kita.
Namun begitu, dalam dunia ilmu, kebanggaan sahaja tidak cukup. Setiap dakwaan mesti disandarkan pada fakta, bukti bertulis, artifak atau catatan sejarah yang disahkan oleh sarjana pelbagai bidang. Tanpa dokumen arkeologi, manuskrip, atau rekod pertukaran ilmu yang boleh disemak semula oleh pakar, ia kekal sekadar naratif lisan atau lebih bahaya menjadi mitos yang mengaburi pemahaman sejarah sebenar.
Kita tidak menolak kehebatan pelayaran dan perkapalan orang Melayu, tetapi jika benar orang Rom ‘belajar’ daripada kita, siapa yang mencatat? Bila berlaku pertukaran itu? Di mana rekodnya?
Kajian ilmiah bukan seperti permainan ‘puzzle’ yang boleh dicantum mengikut suka hati dan selera kita. Ia menuntut disiplin, ketelitian dan integriti akademik. Dalam menilai apa-apa dakwaan, lebih-lebih lagi yang luar biasa dan kita perlu kritis, bukan emosi. Kita mesti tahu membezakan antara kemungkinan dan kebenaran.
Contohnya, benar bahawa bangsa Melayu merupakan pelaut unggul sejak zaman-berzaman. Tetapi untuk mendakwa bahawa orang Rom belajar membuat kapal daripada orang Melayu satu tamadun yang wujud beribu tahun dahulu, kita perlukan bukti konkrit. Bukan sekadar ‘tak mustahil’.
Adakah wujud bukti bahawa orang Rom datang ke Alam Melayu untuk belajar? Atau orang Melayu belayar ke Rom untuk mengajar? Wujudkah persamaan reka bentuk kapal yang menunjukkan pengaruh jelas dari satu budaya ke budaya lain dan kapal Melayu dibuktikan lebih awal wujud?
Pakar Sejarah Teknologi Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud berkata, persamaan antara kaedah pembuatan kapal orang Rom dengan orang Melayu hanyalah kebetulan dan bukan hasil pengaruh langsung atau pertukaran teknologi.
Menurutnya, memang benar cara orang Rom purba membuat kapal hampir sama dengan orang Melayu iaitu membina badan kapal dahulu sebelum membuat kun atau kung (rangka) dan papan badan kapal diikat menggunakan cemat kayu.
“Namun selepas abad pertama Masihi, orang Rom beralih kepada cara membina kun/kung terlebih dahulu sebelum membina badan kapal.
“Malah, kebanyakan bangsa purba lain seperti orang Viking dan Phoenicia juga menggunakan kaedah sama iaitu membuat badan kapal dahulu dan diikat dengan cemat kayu,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam isu kenyataan Dr Solehah ini, amat jelas kenyataan beliau bukan untuk ‘mendidik’ semata-mata, tetapi tersembunyi satu retorik yang ingin mengangkat bangsa Melayu atau bersikap ultra-Melayu demi kepentingan sendiri atau satu-satu kumpulan.
Apatah lagi beliau sebelum ini pernah dilihat di media sosial mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk membongkar sejarah Kedah lama yang dikatakan masih tersembunyi dan tidak diketahui umum.
Pastinya ia akan menjadi sesuatu kenyataan sejarah yang boleh dipertikaikan lantaran ia disulam dengan agenda tersembunyi politik bagi menarik sokongan puak-puak ultra-Melayu. Menariknya, menaikkan ‘jati diri’ bangsa akan menjadi alasan selain mahu merungkai kembali ‘sejarah kita yang disembunyikan’.
Cukup-cukuplah kita dimalukan dengan skandal tujuh pemain warisan, kita tidak mahu Malaysia ditertawa masyarakat antarabangsa walaupun kenyataan ‘over claim’ Dr Solehah ini sudah disebarkan di media Hong Kong dan jangan tunggu ia disambar oleh media-media antarabangsa yang lain.
Dalam pada itu, Persatuan Kakitangan Akademik (ASA) menggesa pihak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengambil tindakan segera dan sewajarnya terhadap seorang ahli akademik yang mana tindakan dan kenyataan awamnya dilihat melanggar piawaian etika, profesionalisme dan integriti akademik.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 4 November lalu, persatuan ini memohon tindakan sedemikian dibuat kerana ia bukan sahaja menjejaskan tanggungjawab sosial, namun menimbulkan risiko besar terhadap reputasi serta nama baik universiti yang tidak boleh dipandang ringan.
“Kredibiliti institusi kita bergantung pada integriti, akauntabiliti dan profesionalisme kakitangan akademiknya.
“Sebagai sebuah komuniti yang diasaskan atas pencarian kebenaran, keadilan dan keilmuan beretika, semua ahli akademik dijangka menegakkan piawaian tertinggi integriti akademik, kejujuran intelektual, profesionalisme dan kelakuan bermoral sama ada di dalam mahupun di luar persekitaran kampus.
“Oleh itu, ASA menyeru pihak pengurusan universiti agar mengambil tindakan segera dan sewajarnya mengikut peraturan serta prosedur yang ditetapkan terhadap mana-mana ahli yang mungkin telah melanggar tanggungjawab tersebut,” kata kenyataan tersebut.
Justeru, pihak berkuasa mahu pun ahli sejarah wajar mengeluarkan kenyataan balas bagi mengelakkan negara kita dikenali dengan imej melanggar disiplin ilmu membuta tuli demi memenuhi nafsu ethanonasionalism yang tidak berasa.
Timbul persoalan kenapa fakta seperti ini disebarkan seolah-olah ia kebenaran mutlak? Lebih menyedihkan, apabila ditegur, ada pula yang menyuruh orang lain mencari bukti kononnya untuk “muhasabah”. Sedangkan tanggungjawab asal terletak pada pihak yang membuat dakwaan, bukan yang menafikan.
Cintakan bangsa bukan bermaksud kita bebas mencipta kisah dongeng. Kita perlu membezakan antara semangat dan ilmu. Bangsa Melayu memang hebat, tetapi jangan sampai kita sendiri memalukan bangsa dengan menyebarkan “fakta ke laut” yang akhirnya mengundang gelak dunia.
Seperti kata pepatah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Jangan kerana ghairah satu dua pihak, rosak kredibiliti ilmu dan maruah bangsa seluruhnya.




