ARPA jana penjimatan RM2.72 bilion melalui reformasi birokrasi

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) berjaya menjana penjimatan lebih RM2.72 bilion dalam kos kawal selia sejak 2024 menerusi pelbagai inisiatif penambahbaikan proses, pendigitalan serta pembaharuan tadbir urus.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, sebanyak 1,171 projek berdaftar telah dilaksanakan di bawah agenda berkenaan bagi memperkukuh kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

“Reformasi yang diperkenalkan bawah ARPA dikenal pasti sebagai faktor penyumbang melalui peningkatan kecekapan institusi, pengukuhan penyampaian perkhidmatan, pendigitalan serta reformasi tadbir urus. Ini memberikan isyarat kukuh kepada pelabur bahawa Malaysia serius dalam reformasi dan daya saing.

“Reformasi itu juga sedang membentuk Malaysia yang lebih cekap, telus dan mesra pelabur,” katanya lapor BH.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada sesi meja bulat bersama dewan perniagaan di sini, hari ini.

Menurut beliau, antara pencapaian ketara ialah pelaksanaan sistem e-Penghulu yang berjaya memendekkan tempoh proses pendaftaran bantuan bencana dan permohonan eKasih daripada satu jam kepada hanya lima minit.

Selain itu, penambahbaikan proses permit pembinaan di Majlis Perbandaran Kulim melalui sistem E10 berjaya mengurangkan tempoh kelulusan daripada 24 bulan kepada 10 bulan.

Di Majlis Perbandaran Kulai pula, tempoh kelulusan permit pembinaan berjaya dipendekkan daripada dua tahun kepada 14 bulan.

“Kedua-dua inisiatif itu menyumbang secara signifikan kepada peningkatan nilai pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan penjanaan hasil bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan turut memperkenalkan Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) bagi memperkukuh pemantauan pelaksanaan projek kerajaan.

“Setakat Disember 2025, prestasi pelaksanaan projek meningkat sebanyak 122 peratus, projek sakit berkurangan 45 peratus, projek lewat menurun 16 peratus, manakala isu berkaitan ‘kelemahan perancangan’ berjaya diselesaikan hingga 98 peratus,” katanya.

Shamsul Azri berkata, beberapa pihak berkuasa tempatan turut mencatat peningkatan ketara dalam aspek penyampaian perkhidmatan.

Menurutnya, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya berjaya memendekkan tempoh kelulusan pelan daripada 10 hari kepada hanya empat jam.

Selain itu, Majlis Perbandaran Alor Gajah mempercepatkan pembaharuan lesen perniagaan daripada tempoh satu hari kepada kelulusan serta-merta.

Beliau berkata, kejayaan reformasi tadbir urus tidak dapat dicapai kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan whole-of-nation yang melibatkan kerjasama sektor awam dan swasta, komuniti perniagaan, akademia serta masyarakat.

Katanya, beberapa negara seperti Emiriah Arab Bersatu, Singapura, Taiwan, New Zealand, Australia, United Kingdom dan Kanada telah melaksanakan model tadbir urus bersepadu bagi meningkatkan kecekapan institusi serta keberkesanan dasar.

“Di Malaysia, komitmen itu dizahirkan melalui ARPA yang mengguna pakai pendekatan whole-of-nation dan bersepadu sebagai tonggak utama dalam memperkukuhkan tadbir urus, meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam, serta memperkasakan pentadbiran awam yang lebih cekap, telus dan berteraskan rakyat,” katanya.

Beliau turut menggesa komuniti perniagaan supaya memainkan peranan lebih aktif dalam memperkukuh tadbir urus dan menyokong usaha meningkatkan keyakinan terhadap Malaysia melalui amalan perniagaan beretika serta pematuhan yang tinggi.

Katanya, kerajaan sentiasa mengalu-alukan maklum balas konstruktif daripada dewan perniagaan dan pemain industri bagi menambah baik dasar serta pelaksanaan sedia ada.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sasaran Malaysia untuk berada dalam kelompok 25 negara terbaik Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2030 adalah realistik untuk dicapai.

Katanya, peningkatan skor Malaysia kepada 52 mata dalam CPI 2025 yang meletakkan negara di kedudukan ke-54 dunia mencerminkan komitmen berterusan kerajaan terhadap agenda reformasi dan integriti nasional.

Related Posts

Konvensyen PH 2026 jadi medan perkukuh kesiapsiagaan politik gabungan

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dijangka memanfaatkan Konvensyen PH 2026 sebagai platform memperkemas strategi politik serta memperkukuh kesiapsiagaan jentera parti menjelang kemungkinan beberapa pilihan raya negeri dalam tempoh terdekat.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Hospital Seri Iskandar, nadi baharu kesihatan rakyat Perak Tengah

Hospital Seri Iskandar, nadi baharu kesihatan rakyat Perak Tengah

Mari fahami struktur hutang negara

Mari fahami struktur hutang negara

Empat warga China direman selepas cuba rempuh polis di Kuala Perlis

Empat warga China direman selepas cuba rempuh polis di Kuala Perlis

Kanak-kanak 2 tahun jatuh dari tingkat lima PPR Bandar Uda Utama masih kritikal

Kanak-kanak 2 tahun jatuh dari tingkat lima PPR Bandar Uda Utama masih kritikal

ARPA jana penjimatan RM2.72 bilion melalui reformasi birokrasi

ARPA jana penjimatan RM2.72 bilion melalui reformasi birokrasi

Dakwaan kerajaan P.Pinang jual 365 rumah murah kepada warga China tidak tepat

Dakwaan kerajaan P.Pinang jual 365 rumah murah kepada warga China tidak tepat