Konvensyen PH 2026 jadi medan perkukuh kesiapsiagaan politik gabungan

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dijangka memanfaatkan Konvensyen PH 2026 sebagai platform memperkemas strategi politik serta memperkukuh kesiapsiagaan jentera parti menjelang kemungkinan beberapa pilihan raya negeri dalam tempoh terdekat.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, amanat khas yang bakal disampaikan Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka memberi penjelasan berhubung hala tuju gabungan itu dalam mendepani landskap politik semasa.

“Mesej beliau nanti akan memberikan hala tuju kepada PH susulan desas-desus kemungkinan berlakunya pilihan raya negeri di Johor, Melaka dan negeri-negeri lain.

“Sudah pasti amanat daripada pimpinan utama PH ini akan meletakkan hala tuju dan landasan dalam banyak perkara yang akan disusuli oleh jentera pilihan raya bagi gabungan ini sama ada di peringkat negeri mahupun nasional.

“Ia termasuklah dari segi persiapan, rundingan kerusi dan juga akan mengingatkan mengenai usaha menteri dalam PH ini untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang mungkin sudah sekian lama membelenggu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang SPM dan Sambutan Hari Guru Lembah Pantai 2026 di sini, hari ini.

Konvensyen yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada 17 Mei ini dijangka menghimpunkan lebih 3,000 perwakilan daripada PKR, Amanah dan DAP dari seluruh negara.

Selain amanat pimpinan utama, program berkenaan turut akan menampilkan sesi perbahasan wakil negeri berkaitan isu semasa serta persediaan jentera parti menghadapi cabaran politik akan datang.

Mengulas lanjut, Fahmi menyifatkan konvensyen pertama selepas empat tahun itu sebagai langkah penting dalam memperkukuh semula gerak kerja politik PH di peringkat nasional.

Beliau berkata, konvensyen berkenaan juga menjadi ruang untuk menyusun semula kekuatan gabungan selain menetapkan rentak pergerakan politik menjelang fasa seterusnya.

Mengulas tanggapan bahawa konvensyen itu mempunyai kaitan dengan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), beliau berkata, setakat ini tiada petunjuk bahawa pilihan raya umum akan diadakan dalam masa terdekat.

“Walaupun tiada isyarat PRU16 dalam masa terdekat, Perdana Menteri menegaskan usaha menyelesaikan masalah rakyat mesti menjadi keutamaan, khususnya membabitkan golongan penjaja, peniaga kecil dan mereka yang memerlukan bantuan.

“Dalam masa sama, kita perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan. Kita tahu Johor mungkin akan ada pilihan raya, walaupun bukan sekarang, tetapi tidak mustahil dalam tempoh yang tidak terlalu lama,” katanya.

Beliau berkata, fokus utama kerajaan sepanjang tempoh awal pentadbiran adalah melaksanakan agenda reformasi dan penambahbaikan dasar termasuk penyasaran subsidi.

Katanya, pelaksanaan subsidi bersasar RON95 dan penyelarasan subsidi diesel memerlukan perhatian serta penelitian menyeluruh daripada pimpinan kerajaan.

“Semua ini mengambil masa dan perhatian pimpinan PH. Namun selepas lebih tiga tahun mentadbir, kini ada keperluan untuk menyusun semula kekuatan politik melalui konvensyen ini.

“Apa yang terbuku di hati pimpinan akan disampaikan, sekali gus menjadi panduan jelas kepada hala tuju PH dalam mendepani cabaran politik dan pilihan raya akan datang,” katanya.

Related Posts

ARPA jana penjimatan RM2.72 bilion melalui reformasi birokrasi

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) berjaya menjana penjimatan lebih RM2.72 bilion dalam kos kawal selia sejak 2024 menerusi pelbagai inisiatif penambahbaikan proses, pendigitalan serta pembaharuan tadbir…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Hospital Seri Iskandar, nadi baharu kesihatan rakyat Perak Tengah

Hospital Seri Iskandar, nadi baharu kesihatan rakyat Perak Tengah

Mari fahami struktur hutang negara

Mari fahami struktur hutang negara

Empat warga China direman selepas cuba rempuh polis di Kuala Perlis

Empat warga China direman selepas cuba rempuh polis di Kuala Perlis

Kanak-kanak 2 tahun jatuh dari tingkat lima PPR Bandar Uda Utama masih kritikal

Kanak-kanak 2 tahun jatuh dari tingkat lima PPR Bandar Uda Utama masih kritikal

ARPA jana penjimatan RM2.72 bilion melalui reformasi birokrasi

ARPA jana penjimatan RM2.72 bilion melalui reformasi birokrasi

Dakwaan kerajaan P.Pinang jual 365 rumah murah kepada warga China tidak tepat

Dakwaan kerajaan P.Pinang jual 365 rumah murah kepada warga China tidak tepat