
KERAJAAN MADANI hari ini didakwa menaikkan pelbagai cukai, tarif dan caj kerana negara semakin terbeban dengan hutang yang meningkat serta kos faedah tahunan yang semakin besar.
Lalu disusunlah angka demi angka.
Kos khidmat hutang RM28.8 bilion pada 2017. Naik menjadi RM41.2 bilion pada 2022. Kemudian melonjak kepada RM58.3 bilion pada 2026.
Kemudian, lahirlah kesimpulan tanpa asas bahawa kerajaan kini ‘terdesak mencari duit’ sehingga rakyat pula dipaksa menanggung pelbagai kenaikan cukai, tarif utiliti dan pengurangan subsidi.
Ini naratif sesat dan diolah untuk membodohi rakyat.
Hakikat yang jarang disebut ialah lonjakan hutang terbesar Malaysia sebenarnya berlaku ketika pandemik melanda dunia.
Dalam tempoh tersebut, kerajaan terpaksa membelanjakan ratusan bilion ringgit. Ketika itulah hutang negara melonjak dengan begitu besar.
Ertinya, Kerajaan MADANI mewarisi:
i. komitmen hutang pandemik
ii. kadar faedah global yang meningkat
iii. defisit fiskal yang masih tinggi
iv sistem subsidi lama yang semakin membebankan kewangan negara.
Namun, jika diperhatikan secara objektif, Kerajaan MADANI sebenarnya sedang cuba mengurangkan defisit fiskal negara secara berperingkat.
Defisit fiskal yang berada sekitar 5.5 peratus pada 2022 mula diturunkan sedikit demi sedikit kepada sekitar 5.0 peratus, kemudian 4.1 peratus, sebelum disasarkan terus menurun dalam beberapa tahun akan datang.
Kalau benar kerajaan sekadar ‘gila berhutang’, angka defisit sepatutnya terus melebar tanpa kawalan, tetapi yang berlaku ialah sebaliknya. Itu fakta.
Bertindak bagi membetulkan sistem fiskal negara, maka Kerajaan MADANI menyelaras pelbagai dasar yang dibuat secara perbincangan bersama dengan pakar-pakar ekonomi dan sistem kewangan negara. Semua ini bukan semata-mata keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
Contohnya Cukai Keuntungan Modal (CGT). Ianya bukan cukai pukal kepada semua rakyat seperti yang cuba digambarkan. Sebaliknya lebih tertumpu kepada keuntungan tertentu daripada pelaburan dan pelupusan aset.
Begitu juga reformasi diesel bersasar. Realitinya, subsidi pukal selama ini turut dinikmati industri besar, aktiviti penyeludupan dan warga asing.
Kerajaan cuba mengurangkan ketirisan itu supaya subsidi lebih tertumpu kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan.
Begitu juga isu peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang sering dimainkan seolah-olah semua barang harian rakyat dikenakan cukai secara membuta tuli.
Hakikatnya, banyak barangan asas, ubat-ubatan, pendidikan dan keperluan penting masih diberikan pengecualian atau kadar sifar tertentu.
Malaysia selama puluhan tahun terlalu bergantung kepada hasil petroleum, dividen Petronas, hutang subsidi pukal berskala besar.
Namun dunia sudah berubah dan akan terus berubah. Malah situasi geopolitik dunia juga tidak menentu.
Dalam keadaan hari ini, mana-mana kerajaan sekalipun akhirnya akan berdepan pilihan yang sukar, sama ada terus menambah hutang tanpa kawalan, atau mula melakukan reformasi fiskal secara berperingkat walaupun tidak popular.
Sebab itu, harus difahami bahawa tanpa pembetulan struktur fiskal, beban yang lebih besar akhirnya tetap akan diwarisi oleh generasi akan datang yakni anak cucu kita.
Kerajaan MADANI sedang bekerja, sedang membentulkan struktur fiskal negara ini. Bukan demi Anwar, bukan demi MADANI tetapi demi kita semua.
*Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)





