
JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun kini bertarung nyawa selepas dipercayai terjatuh dari tingkap sebuah unit kediaman di tingkat lima Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bandar Uda Utama, di sini, Selasa lalu.
Mangsa yang merupakan warga tempatan dilaporkan mengalami kecederaan serius di bahagian wajah, kepala dan leher selain mengalami pendarahan dalaman akibat kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan masih berada dalam keadaan kritikal.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu dipercayai memanjat tingkap ruang tamu dengan menggunakan sofa yang diletakkan berhampiran tingkap berkenaan.
“Ketika kejadian, tingkap tersebut dipercayai berada dalam keadaan sedikit terbuka dan tidak berkunci,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Dalam pada itu, polis turut menasihatkan orang ramai supaya lebih peka terhadap aspek keselamatan kediaman terutama melibatkan kanak-kanak kecil.
“Pastikan tingkap, balkoni dan ruang berisiko berada dalam keadaan selamat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi hotline IPD Johor Bahru Utara di talian 07-5563122 bagi membantu siasatan.
Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak ditemui terbaring di kawasan parkir selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lima flat berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi.
Beberapa penduduk turut mendakwa terdengar jeritan ibu mangsa sejurus menyedari anaknya terjatuh.
Difahamkan, keluarga kanak-kanak itu baru beberapa bulan berpindah ke PPR tersebut.




