DADAH, Mat Rempit, denggi, Covid-19, rasuah, kelonggaran integrasi kaum – adakah satu daripada yang tersenarai ini merupakan ancaman utama negara kita?
Jawapannya tidak! Itu pandangan saya!
Tanpa menafikan keburukan semua yang tersenarai itu dan beberapa hal lain yang tidak tercatat, saya lebih memilih ekstremis agama sebagai ancaman paling berbahaya!
Ekstremis agama berlaku secara senyap tetapi tiba-tiba sahaja meletup dan hanya kita sedari dalam keadaan kita sudah sukar mengawalnya.
Pertama, lihat apa-apa yang berlaku di Memali dengan hati terbuka. Jika anda jujur, dapat dilihat bahawa doktrin yang tersimpang menyebabkan banyak nyawa terkorban.
Ucapan seseorang yang kononnya memperjuangkan agama, yang dilakukan di sebuah mukim di Terengganu pada 1981 telah ‘dianuti’ sebagai kerahan wajib.
Perlahan-lahan itu menjadi suatu ‘amanat’ pada 1982, yang akhirnya membengkak dan nanahnya pecah membusuk di bumi Kedah pada 19 November 1985.
Kedua, tatap kembali kisah penularan gerakan Al-Arqam yang mendapat keanggotaan pelbagai lapisan masyarakat sebelum diharamkan oleh kerajaan pada 5 Ogos 1994.
Gerakan yang bermula pada 1972, berpusat di Sungai Penchala, Selangor, dan dikenali dengan frasa Aurad Muhammadiah itu turut tersebar ke negara Asean dan luar Asean.
Ketiga, berlakunya ajaran ‘Kerajaan Langit’ pimpinan Ayah Pin yang berpusat di Besut, Terengganu sebelum diharamkan oleh pihak berkuasa agama pada Disember 1997.
Ajaran ini benar-benar menjadi tsunami ajaran sesat kerana turut mendapat sambutan selain bangsa Melayu serta penuh dengan kisah magis sukar dihapuskan.
Keempat, kenang peristiwa yang berlaku di Bukit Jenalik, Sauk, Perak, pada 2 Julai 2000 dan kaitannya dengan gerakan Al Maunah.
Peristiwa itu memberi kesan buruk kepada negara; juga tercetus daripada penganutan dan kefahaman agama yang menyimpang.
Kerajaan akhirnya mendefinisikan pergerakan berkenaan sebagai kegiatan ‘memerangi Yang di-Pertuan Agong’ dan banyak individu terpaksa ditangkap dan dipenjarakan.
Kelima dan yang terbaharu, timbul pula isu Global Ikhwan Sendirian Berhad (GISB) yang juga dikenali sebagai GISB Holding (GISBH).
Gerakan tersebut dikatakan berselindung di sebalik kegiatan berasaskan penguasaan ekonomi, namun penelitian mendapati banyak perkara menyimpang diamalkan.
Selain itu, dikatakan bahawa GISB mengeksploitasikan kudrat kanak-kanak, melakukan perhambaan ke atas pihak tertentu serta beberapa perkara lain yang menjijikkan.
Pada masa yang sama, berlaku pula ajaran menyeleweng – memuja pemimpin ‘agama’ secara berlebihan, seolah-olah pemimpin itu tiada cacat cela.
Yang dikhuatirinya, di sebalik semua itu, ada kaitan sebahagian besar gerakan tersebut dengan ahli parti politik tertentu.
Sebagai contoh, berlaku kemiripan antara beberapa jalur gerakan dalam pentadbiran GISBH dengan jalur gerakan dalam sebuah parti politik berasaskan agama.
Berasaskan pemerhatian semasa, didapati perkara seumpama ini boleh menjadi satu gerakan bawah tanah yang jika tidak dibendung akan memusnahkan negara.
Sesetengah pihak yang menggerakkannya melaksanakan ‘tugas’ mereka seolah-olah mereka itu ‘daie’ – penyeru kepada jalan agama dan kelibat mereka sangat popular.
Mereka berada di musala tertentu, surau tertentu, masjid tertentu, pusat tahfiz tertentu, sekolah harian tertentu, sekolah berasrama penuh tertentu, dan pusat pengajian tinggi tertentu.
Sedar atau tidak, mereka kini turut berada di segenap agensi, jabatan, dan kementerian termasuklah yang berlabel agama.
Setiap kesempatan yang terluang diambil mereka untuk menyebarkan kebencian dan menanam kepercayaan bahawa menentang mereka bermakna menentang ulama.
Gerakan yang sebegini sifatnya lebih berbahaya daripada gerakan yang jelas sesat seperti ajakaran Kerajaan Langit bikinan Ayah Pin.
Biarpun begitu, masih ada agensi, jabatan, dan kementerian dibuai lena; enggan ambil cakna akan perkara ini.
Dalam konteks di sekolah, jika setiap hari warga mudanya diasak dengan kebencian, mereka mampu menjahanamkan negara ini.
Itukah pengakhiran yang kita mahukan?
Ada sesiapa mahu memberi jawapan?







