DATUK Seri Anwar Ibrahim tiba di Tianjin, China, bagi memulakan lawatan kerja empat hari ke negara itu, termasuk menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025.
Pesawat membawa Perdana Menteri berlepas dari Kuala Lumpur selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianjin Bihai jam 5.27 petang.
Ketibaan beliau disambut dengan kawalan kehormatan seramai 36 anggota.
Anwar disambut Menteri Pertanian China, Han Jun; Pengerusi Persidangan Perundingan Politik Rakyat China (CPPCC) Tianjin, Wang Chang Song dan Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujin.
Turut hadir Duta Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad; Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Datuk Zanariah Zainal dan Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Malaysia di China, Norfarina Mohd Azmee.
Mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut serta dalam lawatan ini.
Sejurus tiba, rombongan Perdana Menteri terus ke Pusat Konvensyen Meijiang Tianjin, lokasi Majlis Makan Malam Sidang Kemuncak SCO 2025 dianjurkan Presiden China, Xi Jinping.
Anwar dijadual menyertai pemimpin dunia lain dalam acara itu, termasuk Presiden Rusia, Vladimir Putin; Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
SCO 2025 dijangka menjadi perhimpunan terbesar dalam sejarah, dengan lebih 20 pemimpin asing dan 10 ketua organisasi antarabangsa dijangka hadir.
SCO ditubuhkan China dan Rusia pada 2001 dengan fokus kepada keselamatan di Asia Tengah dan rantau sekitarnya.
Malaysia bagaimanapun bukan ahli atau rakan dialog kepada SCO.
Lawatan kali ini adalah lawatan keempat Anwar ke China sejak 2023, dan dianggap signifikan kerana turut mencatat beberapa detik bersejarah buat Malaysia.
Acara itu dijadual berlangsung di Dataran Tiananmen, Beijing, dengan kehadiran pemimpin-pemimpin dunia lain.
Anwar turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Xi dan Perdana Menteri Li Qiang di Beijing pada 2 September.
Difahamkan, pertemuan dengan Xi akan menyentuh pelbagai isu berkaitan hala tuju hubungan Malaysia-China serta hubungan serantau.
Perbincangan itu dijangka merangkumi aspek perdagangan, pelaburan serta hubungan rakyat antara kedua-dua negara.
Anwar turut dijangka menyuarakan sokongan terhadap idea ‘Komuniti Strategik Peringkat Tinggi Malaysia-China dengan Masa Depan Bersama’, yang dibangkitkan Xi semasa lawatan beliau ke Malaysia pada Mei lalu.
Perdana Menteri Li, bagi pihak Presiden Xi, juga akan menganjurkan majlis makan malam bagi menghormati kunjungan Perdana Menteri Malaysia ke China.
Pada 1 September di Tianjin, Perdana Menteri akan menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Saling Bergantung Secara Berdaulat: Membina Masa Depan Bersama di Asia’ kepada kira-kira 500 peserta di Universiti Tianjin.
Beliau turut dijadual mengadakan beberapa siri pertemuan perniagaan dengan tokoh industri serta pengasas syarikat multinasional di Tianjin dan Beijing.







