PUTRAJAYA – Akademi Keselamatan Siber Malaysia akan beroperasi pada suku kedua tahun 2025 dengan menawarkan kursus berpaksikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, akademi itu akan mengisi kekosongan tenaga kerja mahir bidang keselamatan siber selain berfungsi sebagai pusat pembangunan kapasiti keselamatan siber negara untuk menilai kepakaran, menyelaras penyelidikan dan membangunkan keupayaan keselamatan siber secara menyeluruh serta berterusan.
“Langkah ini mendukung aspirasi Kementerian Digital untuk memperbanyakkan lagi bakat digital, terutamanya dalam bidang keselamatan siber.
“Ia akan memperkukuh keberkesanan negara dan industri dalam menangani isu-isu keselamatan siber,” katanya dalam satu kenyataan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengumumkan Akademi Keselamatan Siber akan ditubuh bagi menampung lebih 26,000 kekosongan tenaga kerja dalam bidang itu.
Beliau berkata, akademi itu akan diletak di bawah penyelarasan CyberSecurity Malaysia bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir keselamatan siber yang mendesak dalam kalangan syarikat semikonduktor dan berasaskan elektronik.
Gobind menjelaskan, akademi berkenaan akan membangunkan bakat keselamatan siber TVET bertaraf antarabangsa dengan bermatlamat mentransformasikan Malaysia menjadi hab keselamatan siber global dan mempromosi penerapan nilai serta etika murni dalam keselamatan siber bagi memperkukuhkan disiplin kendiri individu terhadap ancaman teknologi digital.
“Ia juga merangkumi pelaksanaan strategi pemasaran dan pensijilan profesional untuk memperkukuhkan kerjasama antarabangsa.
“Akademi Keselamatan Siber Malaysia juga turut berfungsi sebagai pusat pembangunan kapasiti keselamatan siber TVET premier, khusus untuk penjawat awam, tenaga kerja industri dan akademia,” katanya.





