SETELAH memasuki hari ketujuh kempen Pilihan Raya Kecil N20 Sungai Bakap, pemimpin utama parti Bersatu dan Gerakan akhirnya muncul dalam pentas ceramah bersama dengan pemimpin PAS.
Hadir pada Ceramah Perdana Perikatan Nasional di Pusat Daerah Mengundi Puteri Gunung 2 malam tadi, Gerakan menampilkan Presiden parti itu, Dominic Lau manakala Bersatu menampilkan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin diikuti Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Naib Presiden, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, selain Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Ceramah yang bermula lebih kurang pada pukul 9.35 malam itu dibuka dengan ucapan daripada Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff diikuti dengan ucapan daripada calon bertanding, Abidin Ismail yang tampil lebih bertenaga berbanding ucapan-ucapannya sebelum ini.
Ucapan diteruskan oleh Presiden MIPP, P Punithan yang menyentuh isu berkenaan penambahbaikan sekolah Tamil di Sungai Nibong, khususnya di Sungai Bakap.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan daripada Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau yang juga dilaporkan ‘berlaga angin’ dengan PAS pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang tahun lepas berkenaan perebutan kerusi DUN Bayan Lepas.
Pada PRN Pulau Pinang lepas, media melaporkan timbul konflik berkenaan penamaan calon membabitkan Dominic selepas PAS Bayan Lepas menyuarakan ketidakpuasan hati susulan Presiden Gerakan itu menyatakan hasrat bertanding di kerusi berkenaan.
Dalam masa sama, PAS Bayan Lepas menetapkan pendirian untuk memboikot proses penamaan calon dan kempen terhadap Dominic di kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu itu.
Keputusan PRN Negeri di DUN Bayan Lepas ketika itu menyaksikan kekalahan Dominic kepada calon Pakatan Harapan – Barisan Nasional, Azrul Mahathir Aziz yang memperoleh 15,410 undi berbandig 13,629 undi yang diperoleh Presiden Gerakan itu.
Ceramah Perdana Perikatan Nasional diteruskan dengan ucapan dari Muhyiddin yang juga merupakan penampilan pertamanya sepanjang kempen PRK Sungai Bakap yang sudah berlangsung selama seminggu.
Acara yang diadakan di padang bola di perkarangan flat Seri Mutiara yang terletak dalam Pusat Daerah Mengundi Puteri Gunung yang mencatatkan jumlah seramai 14,000 di kawasan itu bagaimanapun hanya dihadiri lebih kurang 200 orang penonton.

Kehadiran ‘Top Gun’ dari parti sekutu PAS pada Ceramah Perdana yang sepatutnya berskala besar itu bagaimanapun dilihat gagal menarik ramai penonton dan penyokong Perikatan Nasional serta pengundi di kawasan itu.
Keadaan hujan renyai sepanjang program berkenaan dilihat menjadi faktor utama jumlah kehadiran yang gagal memenuhi ruang acara berbanding isu pergeseran yang berlaku dalam gabungan parti pollitik berkenaan.
Selepas menyampaikan ucapannya selama lebih kurang 30 minit, Muhyiddin menyerahkan majlis kepada Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man utnuk menyampaikan ceramahnya pada acara berkenaan.
Ketika Tuan Ibrahim memulakan ucapan dengan kata aluan kepada pimpinan Bersatu, bagaimanapun rombongan Muhyiddin bersama pemimpin-pemimpin yang lain meninggalkan pentas tanpa memberikan sebarang respons kepada pihak media.
Majlis Ceramah Perdana Perikatan Nasional itu kemudiannya diteruskan oleh beberapa orang pemimpin PAS bersama kumpulan penyokong dan ahli yang hadir.
Media sebelum ini melaporkan beberapa insiden yang menunjukkan pergeseran di kalangan pemimpin-pemimpin dalam kalangan Perikatan Nasional meskipun beberapa kali dinafikan.
Namun, pemerhatian yang dibuat pada Ceramah Perdana yang diadakan malam tadi menunjukkan kehadiran barisan kepimpinan Bersatu dan Presiden Gerakan hanya tidak lebih daripada ‘menunjuk muka’ kepada ahli dan penyokong bawahan tanpa sebarang justifikasi yang tuntas.




