PUTRAJAYA – Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) mulai 15 April ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan dasar BDR itu membabitkan kementerian, agensi serta badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan.
Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan perincian pelaksanaan dasar berkenaan akan menyusul kelak.
“Sebelum ini kita umum akan ambil langkah awal dan ini termasuk sambutan Aidilfitri yang lebih terkawal, selain kerajaan akan mengurangkan dengan langkah penjimatan dan sambutan yang jauh lebih sederhana.
“Saya ucap setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua yang mengikuti semangat ini dan tidak angkuh, tidak boros, tidak anggap keadaan ini biasa mempamerkan kekayaan sewenang-wenang dan menunjukkan seolah-olah tidak ada yang terkesan.
“Sikap ini akan merugikan kita kerana rakyat di bawah sana petani, nelayan, pekerja masih ramai yang terhimpit,” katanya dalam taklimat ringkas, pada malam Rabu.

Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Februari lalu, susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menasihatkan golongan agak kaya dan tinggi kedudukannya supaya tidak alpa, selain perlu menunjukkan keprihatinan dan memberikan bantuan dalam keadaan yang menekan ramai rakyat itu.
“Tetapi oleh kerana kita tahu kesannya, daripada segi kerajaan kuota BUDI MADANI 95 diselaraskan kepada 200 liter sebulan bermula hari ini sebagai langkah sementara.
“Kemudian pengisian diesel bersubsidi Sabah, Sarawak dan Labuan juga mula dikuasakan,” katanya.






