
KOTA KINABALU – Prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir hari ini mendedahkan detik penting sebelum kejadian apabila Deponen ke–65 (Saksi Kanak-Kanak ke-39) mengakui sempat berinteraksi kira-kira 10 minit dengan mangsa yang ketika itu berada dalam keadaan emosi tidak stabil serta menyatakan hasrat untuk terjun.
Mahkamah Koroner diberitahu, deponen yang juga pelajar sekolah sama menemui arwah sekitar pukul 1 hingga 2 pagi pada 16 Julai 2025 di aras tiga blok asrama, selepas ternampak kelibat mangsa berhampiran tandas.
Menurut deponen, dia kemudian naik ke aras tiga dan menegur mangsa sebelum mengecamnya sebagai Zara yang sedang menangis.
“Arwah tidak menjelaskan punca kesedihan, tetapi menyatakan mahu berpindah sekolah dan ada menyebut mahu terjun,” katanya dalam keterangan di hadapan mahkamah pada Rabu.
Deponen bagaimanapun tidak bertanya lanjut, sebaliknya hanya menasihati arwah secara ringkas dan meminta mangsa beristighfar sebelum mengiringinya pulang ke pintu bilik asrama.
Dia menganggarkan keseluruhan interaksi tersebut berlangsung sekitar 10 minit sebelum meninggalkan lokasi dan kembali ke bilik tanpa mengambil sebarang tindakan lanjut.
Keesokan paginya, deponen dimaklumkan oleh rakan, arwah telah terjun, sekali gus mengejutkannya.
Dalam keterangannya, deponen turut mengakui tidak memaklumkan pertemuan tersebut kepada mana-mana pihak termasuk guru atau polis sehingga kira-kira seminggu selepas kejadian.
Deponen juga memberitahu mahkamah bahawa dia tidak pernah mendengar mangsa mengadu dibuli, malah menganggap arwah sebagai seorang yang disenangi rakan-rakan.
Bagaimanapun, dia mengakui masih terkesan dengan kejadian itu dan berasa bersalah kerana merasakan mungkin boleh bertindak lebih awal.
Sementara itu, ibu kepada deponen (Deponen ke-66) mengesahkan anaknya tidak menyaksikan sendiri kejadian tersebut, sebaliknya hanya menceritakan pertemuan dengan mangsa beberapa bulan selepas insiden.
Menurutnya, pada hari kejadian, anaknya memeluknya dalam keadaan menangis sambil berkata, “ibu doakan kawan saya, kawan saya terjun” tanpa memberikan penjelasan lanjut ketika itu.
“Ia hanya diceritakan secara terperinci selepas dua hingga tiga bulan, termasuk mengenai keadaan mangsa yang menangis dan menyatakan hasrat untuk terjun,” kongsinya.
Tambahnya, sejak kejadian itu, anaknya menunjukkan perubahan emosi ketara termasuk menjadi lebih pendiam dan sering menangis apabila perkara tersebut disentuh.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa keseluruhan keterangan ibu berkenaan adalah berdasarkan cerita anaknya serta pemerhatian terhadap perubahan tingkah laku selepas kejadian.
Prosiding inkues di Mahkamah Koroner akan disambung semula pada Khamis, 2 April 2026.






