PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak menolak kemungkinan fasa pemulihan susulan tempias konflik di Asia Barat mungkin mengambil masa panjang.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, unjuran itu disokong dengan perkongsian beberapa pemimpin negara Teluk seperti Arab Saudi, Turkiye, Mesir, Indonesia serta Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
Sehubungan itu, katanya, rantaian bekalan global, terutama tenaga dari Malaysia pasti terjejas apabila ketegangan di Asia Barat berlarutan.
“Cuma kita harus bersyukur kerana memasuki fasa ini dalam keadaan ekonomi yang relatif lebih stabil dan kita dapat bertahan.
“RON95 umpamanya dengan (harga bersubsidi) RM1.99 mengejutkan kerana kalau lihat kos dan harga minyak dengan orang terpaksa beratur, ada catuan di negara rantau tentunya merimaskan,” katanya dalam taklimat ringkas, pada malam Rabu.
Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Februari lalu, susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu semua pihak tidak mengambil enteng impak konflik yang berlarutan di Asia Barat di samping masyarakat pelbagai lapisan perlu menerima kenyataan yang konflik terbabit menyebabkan keadaan tidak lagi seperti biasa.

Justeru, katanya, negara perlu bertindak sesuai dengan tuntutan masa dan mengikut rancangan, jika keadaan semakin mencemaskan.
“Kita sudah menyuarakan kebimbangan kerana konflik Asia Barat berikutan serangan Israel dan AS ke atas Iran telah menjalar ke negara serantau.
“Kini kesannya (dan) tempiasannya sudah melanda ke seluruh dunia, termasuk negara kita tercinta, Malaysia.
“Bila keadaan ini melegakan sedikit, tidak bermakna kita boleh selesa, penyakit mana-mana masyarakat, keluarga atau negara, kalau kita agak terlalu selesa dan ambil pandang ringan sahaja, enteng ini akan mungkin mengundang masalah lebih berat,” katanya.







