KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah Pusat Arahan Komunikasi bagi menyampaikan maklumat rasmi berkaitan tindak balas negara terhadap krisis tenaga global dan situasi konflik di Asia Barat.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pusat berkenaan akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, dengan sidang media khas dijangka diadakan setiap hari bermula esok.
Beliau berkata, pada peringkat awal taklimat harian itu kemungkinan berlangsung pada jam 4 petang bagi menyelaras komunikasi kerajaan berhubung perkembangan semasa.
“Pada peringkat awal kemungkinan taklimat diadakan setiap hari bermula jam 4 petang. Ini bertujuan menyelaras aspek komunikasi kerajaan, terutama berkaitan respons dan langkah yang diambil oleh kerajaan serta agensi berkaitan susulan krisis tenaga global dan situasi konflik di rantau ini,” katanya pada sidang media mingguan di Angkasapuri Kota Media, di sini, hari ini.
Fahmi berkata, langkah berkenaan merupakan pendekatan lebih agresif kerajaan bagi memastikan maklumat yang disampaikan kepada rakyat adalah tepat, tersusun dan tidak bercelaru ketika dunia berdepan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Jemaah Menteri turut memutuskan agar Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, bersama Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, bertemu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Kewangan dan Ekonomi dalam masa terdekat.
Menurutnya, pertemuan itu bertujuan membentangkan pandangan serta langkah yang telah dirangka kerajaan setakat ini bagi menangani kesan perkembangan di Asia Barat dan krisis tenaga global terhadap ekonomi negara.
Sementara itu, Fahmi berkata, Jemaah Menteri turut dimaklumkan bahawa beberapa mesyuarat ASEAN tahun ini akan dilaksanakan secara dalam talian, kecuali pertemuan yang melibatkan ketua-ketua kerajaan.
Antara yang terdekat ialah Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN yang akan diadakan secara dalam talian, selaras dengan langkah berjaga-jaga susulan situasi geopolitik semasa.






