KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus memperkukuh asas ekonomi negara melalui pelaksanaan agenda reformasi yang menyeluruh bagi memastikan pertumbuhan lebih mampan serta berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah itu penting memandangkan dunia kini berdepan pelbagai cabaran termasuk krisis geopolitik serta gangguan rantaian bekalan yang memberi kesan besar kepada ekonomi global, khususnya sektor tenaga.
Menurut beliau, pengalaman lampau menunjukkan krisis berupaya menjadi pemangkin perubahan besar dalam ekonomi dunia.
Beliau berkata, lonjakan harga minyak pada tahun 1973 hingga 1974 menjadi contoh bagaimana faktor luaran boleh mengubah landskap ekonomi global secara drastik.
Katanya, perkembangan semasa yang melibatkan laluan perdagangan utama dunia juga memberi kesan meluas kepada ekonomi global dan menuntut negara seperti Malaysia supaya lebih bersedia serta bertindak pantas.
“Dalam menghadapi krisis, negara perlu melihatnya sebagai peluang untuk bertindak dan memperkukuh kedudukan ekonomi.
“Kita perlu menggunakan krisis ini untuk melakukan pembaharuan dan meletakkan Malaysia pada landasan yang lebih kukuh. Apa yang penting ialah membina asas yang betul supaya kita mampu berdepan cabaran global dengan lebih berdaya tahan,” katanya lapor BH.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 9 bertajuk Memacu Ekonomi Malaysia: Peranan Sektor Kewangan dan Reformasi Struktur Dalam Mendepani Ketidaktentuan Geopolitik Global yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai moderator.
Turut menjadi panel forum itu ialah Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour serta Ketua Ekonomi Bank Dunia Malaysia, Dr Apurva Sanghi.
Amir Hamzah berkata, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini kerajaan telah melaksanakan pelbagai reformasi bagi memperkukuh kedudukan fiskal negara yang sebelum ini berdepan tekanan termasuk defisit besar serta kebergantungan terhadap subsidi.
Beliau berkata, pengurangan defisit fiskal menjadi antara keutamaan kerajaan kerana langkah itu memberi ruang kepada kerajaan mengurus ekonomi dengan lebih berkesan selain mengurangkan beban hutang serta meningkatkan kemampanan fiskal jangka panjang.
“Reformasi subsidi bukan sesuatu yang mudah kerana ia memberi kesan langsung kepada rakyat, namun kita berjaya melaksanakannya secara terkawal dengan memastikan bantuan disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Ujarnya, penjimatan yang diperoleh daripada pelaksanaan reformasi berkenaan disalurkan semula melalui bantuan tunai bersasar serta pelbagai inisiatif pembangunan ekonomi bagi membantu rakyat dan merangsang pertumbuhan.
Pada masa sama, kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha merangsang pertumbuhan ekonomi melalui penggerakan aliran modal yang melibatkan sektor awam, syarikat berkaitan kerajaan serta pelabur asing.
“Pendekatan itu penting bagi memperkukuh pasaran swasta, merangsang keusahawanan serta membuka peluang kepada syarikat tempatan berkembang, sekali gus meletakkan Malaysia pada kedudukan lebih baik untuk menghadapi cabaran global,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata usaha memperkukuh ekonomi negara tidak hanya tertumpu kepada reformasi fiskal, sebaliknya turut melibatkan strategi meningkatkan kompleksiti ekonomi dengan menarik pelaburan dalam industri bernilai tinggi.
“Apabila kita membawa masuk industri berkualiti, kita bukan sahaja meningkatkan daya saing negara, malah mewujudkan pekerjaan yang lebih baik dan berpendapatan tinggi untuk rakyat,” katanya.
Amir Hamzah turut menegaskan kepentingan memperkukuh permintaan domestik melalui reformasi pasaran buruh termasuk pelaksanaan kenaikan gaji minimum serta galakan terhadap amalan gaji sara hidup.
Jelasnya, peningkatan pendapatan rakyat akan memberi kesan berganda kepada ekonomi apabila perbelanjaan domestik meningkat dan seterusnya merangsang aktiviti perniagaan.





