PUTRAJAYA – Lima calon Orang Asli memperoleh keputusan cemerlang kombinasi gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, berkata seramai 133 calon Orang Asli memperoleh sekurang-kurangnya kepujian gred B+, B, C+ dan C.
“Selain itu, seorang calon Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney memperoleh semua A manakala 24 calon memperoleh sekurang-kurangnya kepujian dan 63 calon sekurang-kurangnya mendapat lulus.
“Bagi Sekolah Tunas Bakti pula, seorang calon berjaya mendapat sekurang-kurangnya kepujian untuk semua mata pelajaran,” katanya pada sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2025 di Kementerian Pendidikan (KPM), pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, seramai 1,768 calon Orang Asli layak dianugerahkan sijil SPM 2025 berbanding hanya 1,527 orang pada tahun sebelumnya.
Bagi calon Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, beliau berkata seramai 10 calon layak mendapat sijil SPM 2025 berbanding hanya dua pada SPM 2024.
“Bagi calon Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney pula, seramai 99 calon layak dianugerahkan sijil bagi SPM 2025 berbanding hanya 94 calon pada 2024.
“Seramai 35 calon Sekolah Tunas Bakti pula layak dianugerahkan sijil SPM 2025 berbanding 20 pada tahun sebelumnya,” katanya.








