PUTRAJAYA – Prestasi Bahasa Melayu antara 29 daripada 95 mata pelajaran yang merekodkan penurunan berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) dalam analisis keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, berkata sebanyak 63 mata pelajaran menunjukkan peningkatan manakala tiga lagi tidak berubah berbanding SPM 2024 berdasarkan GPMP.
“Bagi tujuh mata pelajaran teras, tiga mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi, manakala empat mata pelajaran menunjukkan penurunan prestasi.
“Pendidikan Islam menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi sebanyak 0.79 mata, iaitu 3.20 mata pada SPM Tahun 2025 berbanding 3.99 mata pada SPM Tahun 2024.
“Bahasa Melayu pula menunjukkan penurunan prestasi sebanyak 0.13 mata, iaitu 3.85 mata pada SPM 2025 berbanding 3.72 mata pada SPM 2024,” katanya pada sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2025 di Kementerian Pendidikan (KPM), pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohd Azam memaklumkan, bagi mata pelajaran elektif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), membabitkan Sains Tulen dan Matematik Tambahan menunjukkan penurunan prestasi antara 0.02 hingga 0.15 mata.

Bagi 12 mata pelajaran elektif STEM membabitkan Sains Gunaan dan Teknologi pula, beliau menegaskan, sebanyak lapan mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi.
“Mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik pula menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi sebanyak 1.64 mata, iaitu 2.01 mata berbanding 3.65 mata pada 2024.
“Mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan Awam pula menunjukkan penurunan prestasi sebanyak 0.25 mata, manakala Sains Komputer mengekalkan prestasi 3.63 mata sama seperti SPM 2024,” katanya.
Selain itu, katanya, daripada 22 mata pelajaran elektif STEM membabitkan mata pelajaran vokasional (MPV), 16 menunjukkan peningkatan prestasi, lima menurun manakala satu kekal seperti tahun sebelumnya.
“Bagi mata pelajaran elektif Kemanusiaan dan Sastera Ikhtisas, 11 daripada 12 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi manakala satu menunjukkan penurunan.
“Mata pelajaran elektif Pengajian Islam pula, sembilan daripada 13 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi manakala empat mata pelajaran menunjukkan penurunan prestasi,” katanya.








