
SHAH ALAM – Polis sedang memburu dua suspek yang dipercayai mencuri Proton Wira, di Jalan Salung 33/26, Seksyen 33, di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol mengesahkan pihaknya menerima laporan mangsa berusia lingkungan 20-an berhubung kejadian itu di tempat letak kenderaan staf sebuah premis, kira-kira jam 3 pagi, Selasa lalu.
“Pengadu meletakkan kereta di premis berkenaan pada Sabtu, 21 Mac lalu sebelum pulang ke kampung di Tumpat, Kelantan.
“Pada jam 1.14 pagi Selasa lalu, apabila tiba dari kampung, pengadu mendapati kereta itu hilang,” katanya, lapor Berita Harian.
Ramsay berkata, siasatan mendapati pengadu adalah pekerja di premis berkenaan dan tiada pengawal keselamatan di situ.
“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua suspek lelaki menggunakan sebuah kenderaan lain untuk mencuri kenderaan pengadu.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat bersabit kes ini boleh menyalurkan kepada Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Rafiah Isa di talian 012-3770327 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di talian 03-55202222,” katanya.
Kejadian kecurian itu turut tular di media sosial Threads.






